Sebenarnya sesuatu yang bernama “Tahun Baru” itu tidak bermakna apa-apa. Sungguh, tiada maknanya. Hal ini kerana, hari tahun baru hanyalah satu hari daripada 365 (atau 366) hari dalam setahun, sepanjang proses peredaran planet bumi mengelilingi matahari, salah satu bintang dalam galaksi bima sakti itu. Jadi, titik tahun baru itu boleh bermula di mana-mana titik pun dalam peredaran tersebut—cuma lebih kurang 2,000 tahun dahulu di Empayar Rom, kalendar Gregorian (atau Julian) mula digunapakai dan menetapkan bahawasanya 1 haribulan Januari sebagai 1 haribulan Januari yang kita kenal hari ini. Sebab itulah, saya sukar memahami mengapa ramai sekali merasa sangat teruja sehingga sanggup berhimpun dan menunggu detik 12 tengah malam (malah ada yang sampai cedera di Klang semasa sambutan semalam) hanya disebabkan mahu menyambut “tahun baru” yang sebenarnya tidak wujud pun, kerana hakikatnya kewujudan “tahun baru” itu hanyalah sesuatu yang politikal. Tapi tak mengapa, itu pilihan masing-masing. Tatkala kita bersetuju bahawa setiap insan berhak melakukan apa yang dikehendaki selagi tidak mencabul hak orang lain, maka mereka juga berhak melakukan sesuatu yang kita anggap tidak bermakna.

Tahun 2016 baru sahaja melabuhkan tirainya, dan bagi saya, ia merupakan tahun yang penuh warna dan liku. Beberapa hal penting turut berlaku, seperti perkahwinan saya, penerbitan buku pertama, dan beberapa perkembangan lagi. Dalam tulisan ini, saya sekadar ingin memperkenalkan beberapa buku dan filem yang saya anggap penting dan bermakna, yang telah saya nikmati pada tahun 2016. Saya berharap daripada cadangan ini, para pembaca akan beroleh manfaat.

 

Bahagian 1: Buku

Terdapat beberapa buku yang saya kira amat bermanfaat. Di sini senarainya:

  1. Farish A. Noor, Quran and Cricket

51k6ulaxetl-_sx324_bo1204203200_

Ini buku lama, tetapi baru saya baca tahun 2016. Ia bercerita lebih kepada refleksi perjalanan Farish Noor dalam usaha beliau menjalankan kajian di madrasah di Pakistan. Selain itu, refleksi beliau tentang beberapa hal lain juga dimuatkan bersama, seperti di beberapa tempat di Asia Tenggara dan memerhatikan pilihan raya di Kelantan. Satu buku yang dimuati dengan sisi pandang baharu hasil pengalaman kembara, humor, dan idea, saya kira untuk anak muda, buku ini adalah penting untuk dibelek-belek dan dinikmati.

 

  1. Alan Ryan, On Politics

61qupbugffl-_sx323_bo1204203200_

Buku ini merupakan cadangan yang selalu saya berikan kepada pelajar kelas Falsafah Politik. Ia merupakan upaya untuk menghuraikan idea-idea falsafah politik dalam tradisi Barat secara sejarawi dan turut memperkenalkan hujahan mereka secara khusus. Ia menarik untuk mereka yang inginkan buku yang meninjau sejarah falsafah politik Barat. Perlu diingat, falsafah politik Barat bukan sahaja berguna dan bermanfaat untuk orang Barat sahaja, tetapi ia menjadi salah satu tradisi yang saling bergerak seiringan dan berinteraksi dengan tradisi-tradisi lain. Sebagai contoh, walaupun kita di Malaysia, sebahagian daripada “Nusantara,” tetapi hasil daripada kolonialisme, hampir semua institusi negara kita memiliki asas dalam tradisi intelektual Barat—seperti kewujudan negara kita sebagai “negara moden,” sistem perlembagaan, sistem demokrasi berparlimen, malah cara kita menanggapi idea “raja-raja Melayu” itu sendiri merupakan konstruk moden, bukannya warisan daripada monarki Melayu zaman bahari. Sebab itulah saya turut menekankan subjek ini supaya kita memahami dengan jelas akan apa yang sedang kita depani hari ini. Buku ini bahasanya mudah dan tidak terlalu teknikal, saya sarankan untuk semua lapisan pembaca.

 

  1. Joseph Stiglitz, The Price of Inequality

41wqor4by7l-_sx323_bo1204203200_

Buku ini telah saya habiskan lama dahulu semasa tahun akhir pengajian sarjana muda, tetapi ingin saya masukkan juga ke dalam senarai ini kerana relevansinya yang semakin jelas dalam konteks masyarakat Malaysia, terutamanya dalam hal pertumbuhan ekonomi, kesenjangan kaya-miskin, dan keadilan kepengagihan. Seperkara yang cukup membimbangkan saya di Malaysia adalah, bagaimana polisi-polisi neo-liberal semakin mendapat tempat dalam penggubalan dasar awam, tetapi sejarah perkembangan ekonomi sehingga ke titik ini gagal dilihat, mengakibatkan kita seolah-olah gagal untuk meletakkan prioriti. Tetapi hal ini tidak menafikan bahawa terdapat juga dasar yang tidak sepatutnya dibuat dalam sejarah negara kita, yang merupakan penyebab kepada masalah yang kita hadapi kini. Kelihatannya, kita seperti sedang dihukum oleh sejarah. Dengan meningkatnya polisi neo-liberal di negara kita, salah satu kesan yang berkemungkinan terhasil adalah kesenjangan kaya-miskin yang kian melebar sedikit masa daripada sekarang. Buku ini bukan sahaja sebagai refleksi kita terhadap sesuatu yang telah berlaku di Amerika Syarikat, tetapi ia juga akan berupaya menjadi amaran kepada kita semua. Selain buku ini, renungan ke atas isu kesenjangan yang agak baik boleh dibaca dalam buku Muhammad Abdul Khalid, The Colour of Inequality.

 

  1. Iris Marion Young, Responsibility for Justice

51j50qehyal-_sx327_bo1204203200_

Buku ini merupakan bacaan yang enak bagi yang meminati persoalan keadilan dari perspektif falsafah politik. Ini bukan bacaan tahap permulaan, jadi anda perlu sedia mengenal idea-idea asas falsafah politik dalam tradisi Barat untuk menghadam buku ini. Ini ialah buku terakhir Iris Young, profesor bidang falsafah dan sains politik di Universiti Chicago, sebelum beliau meninggal dunia. Malah, proses suntingan draf akhir buku ini dilakukan oleh suami beliau kerana beliau sendiri tidak sempat melakukannya. Young merupakan antara sarjana yang saya kagumi kejelasan bicaranya dan ketajaman ideanya—satu sifat yang langka dalam kalangan sarjana kontemporari (sehingga hakikat bahawa “semakin kabur penulisan seorang ahli akademik, semakin mudah untuk tulisan tersebut diterbitkan” sudah menjadi bahan lawak).

Apabila kita bercakap tentang isu “keadilan,” kita akan selalu bercakap tentang soal “liabiliti.” Bermaksud, jika sesuatu ketidakadilan berlaku, ada “orang” atau “pihak” yang bertanggungjawab melakukannya. Tetapi bagaimana jika tiada individu yang bersalah untuk sesuatu kezaliman yang wujud, tetapi struktur masyarakat itu sendiri yang memaksa kezaliman itu berlaku? Malah, kezaliman yang berlaku itu dianggap pula sebagai sesuatu yang “wajar” oleh masyarakat kebanyakan? Young cuba membawa persoalan dari sudut ini, persoalan tentang sebenarnya apa, dan siapa, yang perlu dipertanggungjawabkan dalam perbahasan keadilan sosial—terutamanya keadilan kepengagihan.

Buku ini merupakan satu saranan jelas bahawa persoalan keadilan adalah jauh lebih kompleks daripada sekadar beretorik “meletakkan sesuatu pada tempatnya.” Ia menjelaskan bahawa terdapat beberapa peringkat di mana keadilan perlu dilakukan—individu, kemasyarakatan, perundangan, susunan ekonomi, dan banyak lagi. Adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa jika seorang individu itu mampu berlaku adil kepada dirinya dan kepada hal-hal terdekat (immediate) di sekelilingnya, maka dia juga mampu berlaku adil dalam hal-hal kemasyarakatan dan ekonomi, misalnya. Model liabiliti sebegitu selalu sahaja mengetepikan peranan struktur kemasyarakatan serta kesannya dalam mempengaruhi keadilan di peringkat politik jua ekonomi. Buku ini disarankan untuk para pelajar falsafah politik, peminat pemikiran politik, dan mereka yang menggemari persoalan keadilan.

 

  1. Felipe Fernandez-Armesto, Truth: A History

51s3tadt7gl-_sx334_bo1204203200_

Dalam kalangan penggiat media, ada yang menggelar zaman kita ini sebagai post-truth (terjemahan literal: pasca-kebenaran). Pun begitu, untuk menggelar sesuatu sebagai pra-sekian-sekian atau pasca-sekian-sekian, kita hendaklah mengandaikan bahawasanya kita telah mengenali apakah dia “sekian-sekian” yang kita maksudkan itu. Maka, buku ini membawa kita kepada sejarah obsesi manusia terhadap “kebenaran” dengan bertanyakan soalan yang mudah: sejak bila dan bagaimana manusia cuba menggapai “kebenaran”?

Buku ini adalah satu tinjauan yang sangat ringkas. Bagi penggemar epistemologi, anda mungkin tidak berpuas hati kerana ia tidak menyelami persoalan falsafah sekitar kebenaran secara spesifik lagi mendalam. Tetapi, saya masih mencadangkan buku ini kerana ia sesuai dibaca oleh masyarakat awam kerana huraiannya mudah dan tidak bersifat teknikal, namun tidak sampai meremehkan atau merendahkan butir-butir yang penting seputar perbahasan tersebut.

 

  1. Herbert Marcuse, One-Dimensional Man

41vbtflk22l-_sx323_bo1204203200_

Banyak komentar dalam media terutamanya, yang mengatakan bahawa “dunia ini semakin bebas” dengan maksud bebasnya pasaran dan kurangnya pantauan kerajaan ke atasnya. Tetapi bagi Marcuse, telahan itu tidak benar sama sekali. Dunia yang kita duduki kini, terutamanya pasca-Perang Dunia II, adalah semakin bersifat totalitarian dan bernafsu untuk mengawal segala aspek kehidupan seorang individu. Daripada harapan serta cita-cita kita, perlakuan sehari-harian, sikap kita terhadap wang, pekerjaan, pengangguran, media, sehinggalah kepada naluri kita sekalipun, semua itu sebenarnya sedang dikawal oleh teknologi, proses ekonomi moden, dan susunan politik.

Marcuse merupakan seorang filasuf yang mampir daripada tradisi kesarjanaan falsafah dalam Mazhab Frankfurt (Frankfurt School). Beliau berusaha mengembangkan dan mengkritik sebahagian idea yang diwarisi daripada tradisi Marxis, terutamanya dalam konteks pasca-Perang. Buku ini penting untuk dibaca bukan saja sebagai santapan intelektual, tetapi juga menjadi refleksi kepada bagaimana sebenarnya perkembangan masyarakat kapitalis pada hari ini. Malah, saya percaya, jika Marcuse masih hidup hari ini, tatkala melihat kemenangan Donald Trump atau Brexit, beliau pasti akan menjerit “’kan aku dah kata!”

Buku ini memerlukan pengetahuan asas dalam beberapa perkara, seperti idea ekonomi neo-liberal, birokrasi dalam huraian Weber, dan beberapa istilah asas Marxian seperti alienation, production, dan surplus-value. Justeru, buku ini juga bukanlah bacaan peringkat permulaan.

 

  1. Christopher Pierson, The Modern State

61bohcxxsul-_sx331_bo1204203200_

Beberapa permasalahan yang saya perhatikan, yang kini sedang membelenggu gerakan ideologikal seperti gerakan Islamis adalah: tiada perbahasan kritis tentang konsep, sejarah, dan implikasi “negara moden.” Hampir semua naratif Islamis adalah untuk mengangkat perundangan Islam (dengan cara apa pun anda memahami frasa ini), menyebarkan dakwah, dan membina individu Muslim yang komited dengan agama. Untuk objektif pertama, selalu sahaja dianggap penggubalan undang-undang itu seolah-olah sama saja antara di bawah negara moden dengan di bawah sistem pemerintahan empayar Muslim dahulu kala. Ini satu andaian yang bermasalah, apabila penggubalan undang-undang dianggap sesuatu yang “tabii” sifatnya, sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Justeru, buku ini penting untuk memahami apakah dia hakikat sebuah “negara moden” yang selalu kita andaikan saja makna dan implikasinya itu. Buku ini merupakan satu tinjauan idea dari perspektif sosiologi dan falsafah politik, bukan dari sudut sejarah. Bagi yang berminat untuk melihat persoalan ini vis-à-vis Islam, lengkapi bacaan anda pula dengan buku Wael Hallaq, The Impossible State.

 

  1. Asma Afsaruddin, The First Muslims

41gn4gy5lcl-_sx323_bo1204203200_

Saya menyukai buku ini kerana usaha penulisnya untuk memaparkan generasi awal Muslim (salaf al-ṣāliḥ) dengan cara yang paling adil berpandukan sumber-sumber awal dalam tradisi Muslim—baik Sunni mahupun Syiah. Beliau mula dengan memaparkan bagaimana hakikat kehidupan serta perjuangan mereka, dan kemudian di bahagian kedua, berusaha untuk memaparkan bagaimana memori tentang mereka telah dikonstruk dan digunapakai oleh golongan Islamis dan modenis. Seperkara yang menarik bagi saya ialah usaha beliau untuk “memanusiakan” para sahabat Nabi Muhammad, dengan cara menunjukkan bagaimana dalam beberapa keadaan, mereka pernah tersilap dalam membuat keputusan. Tetapi itu bukanlah pokok persoalan buku ini, jangan pula telahan saya itu disalah fahami. Rujukan beliau amat luas, daripada Ta’rīkh al-Umam wa’l-Muluk oleh al-Tabari, al-Umm oleh al-Shafi‘i, sehinggalah kepada tulisan-tulisan oleh ‘Ali al-Qummi, Muhammad Baqir Majlisi, Rashid Rida, dan banyak lagi.

Penulisnya merupakan profesor Pengajian Islam dan Arab di Universiti Notre Dame, Amerika Syarikat. Buku ini sangat saya sarankan kepada mereka yang berminat untuk menyelami sejarah golongan sahabat yang awal berpandukan sumber-sumber awal. Malah, satu rentetan ringkas tentang perpecahan Muslim Sunni dengan Muslim Syiah pada fasa awal juga turut dihuraikan. Tetapi, untuk huraian yang lebih terperinci tentang subjek ini, saya sarankan buku Wilferd Madelung, The Succession to Muhammad.

 

  1. Zia Haider Rahman, In the Light of What We Know (Novel)

51rmqu8dedl-_sx328_bo1204203200_

Ini merupakan salah satu novel yang amat saya sukai. Cakupannya luas—anda dibawa dari Princeton ke Oxford ke Kabul pasca-Perang 2001, sehinggalah ke Dhaka, London, dan New York. Ia menimbulkan persoalan penting tentang kebenaran, sains, kemampuan manusia menggarap ilmu, sejarah, ekonomi, matematik, dan banyak lagi. Novel ini bercita-cita tinggi, dan saya amat berpuas hati membacanya. Apatah lagi, dalam lima mukasurat pertama pun, nama Kurt Gödel bersama idea Incompleteness Theorem-nya itu sudah dilontarkan penulis! Bagi yang meminati matematik terutamanya, saya kira anda akan merasa selesa dan “feel at home” dengan novel ini.

Penulisnya juga bukan calang-calang, dan ini ialah novel pertama beliau. Zia merupakan bekas pelabur di Wall Street, peguam hak asasi manusia, dan berkelulusan daripada Oxford, Yale, dan Munich.

 

  1. Jonathan Swift, Gulliver’s Travels (Novel)

gullivers-travels-jonathan-swift-paperback-cover-art

Menurut sejarawan Linda Colley dalam buku beliau Captives: Britain, Empire, and the World, ada dua perumpamaan yang bisa menggambarkan empayar British. Satunya, menerusi imej Robinson Crusoe yang inovatif, proaktif, berkemahiran tinggi, dan bersemangat. Tetapi, empayar British itu boleh juga dilihat imejnya menerusi perumpamaan kedua, iaitu pengalaman Gulliver dalam pengembaraan beliau. Di sinilah, saya mula melihat novel klasik ini di balik kacamata baharu.

Jonathan Swift merupakan salah seorang agamawan yang cuba mengkritik nafsu British melebarkan empayarnya ke seluruh dunia menerusi tragedi dan komedi dalam novel ini. Sesungguhnya ia jauh melangkaui fantasi kita—pengembaraan Gulliver ke negeri Lilliput, Brobdingnag, dan Houyhnhnms.

 

 

Bahagian 2: Filem

Saya bukanlah penggila filem pada awalnya, tetapi sejak berkahwin, isteri saya mengajarkan saya bagaimana untuk menikmati filem-filem yang menjentik akal. Di sini saya senaraikan beberapa cadangan saya (kebanyakannya telah saya tonton selepas dicadangkan oleh isteri). Jangan risau, saya berusaha sedaya-upaya supaya tiada spoiler:

 

  1. Ki & Ka (Negara: India. Bahasa: Hindi)

ki-and-ka-2016

Ini merupakan satu filem Bollywood tentang peranan sosial yang sangat bagus. Ia memaparkan satu keadaan di mana sepasang suami isteri memilih untuk saling mengubah peranan—seperti yang telah ditetapkan oleh masyarakat sekeliling.

 

  1. I, Origins (Negara: Amerika Syarikat. Bahasa: Inggeris)

51jwzs2b6utl-_sx200_ql80_

Seorang saintis dan ateis yang mengkaji tentang evolusi mata pada mulanya tidak percaya akan kewujudan roh, dan segala kewujudan yang ghaib sifatnya. Tetapi akhirnya beliau mengalami peristiwa demi peristiwa yang membawa beliau berfikir dan menimbang semula kepercayaan beliau sebelumnya.

 

  1. Denial (Negara: Amerika Syarikat dan United Kingdom. Bahasa: Inggeris dan Jerman)

denial_movie_poster_p_2016

Ini berdasarkan satu kisah benar. Seorang Profesor Pengajian Yahudi, Deborah Lipstadt dihadapkan ke mahkamah di London atas dakwaan yang ditulis dalam buku beliau mengenai peristiwa pembunuhan beramai-ramai (Holocaust) di Auschwitz.

 

  1. Frequencies (Negara: United Kingdom. Bahasa: Inggeris)

frequencies

Pada saya, ini filem yang rumit. Jika dilihat selapis, kita akan nampak cerita dalam sebuah dunia hipotetikal, bilamana keupayaan manusia dibeza-bezakan melalui “frekuensi” gelombang badan masing-masing. Malah, melalui frekuensi itu juga, kita boleh tahu apa yang akan dilakukan manusia tersebut. Tetapi, di peringkat lebih dalam, ia menimbulkan persoalan seperti keadilan Tuhan dan kebebasan berkehendak (free-will) dalam kalangan manusia. Malah, nama-nama wataknya sahaja pun sudah mengujakan—Theodor Adorno, Marie Curie, dan Isaac Newton.

 

  1. Monsieur Lazhar (Negara: Kanada. Bahasa: Perancis)

71iuvbynr7l-_sy445_

Berlatarbelakangkan sekolah rendah di Quebec, Kanada, filem ini membawa pesoalan psikologi di sebalik kemurnian fitrah kanak-kanak. Sesuatu yang mengejutkan berlaku di tengah-tengah mereka, ditambah pula dengan kehadiran seorang guru baharu yang diberati sejarah lampau. Ia filem tentang persoalan psikologi, kemanusiaan, dan kasih sayang yang sangat manusiawi. Mungkin sebab itu, ia memenangi banyak anugerah antarabangsa.

 

  1. Dans la Maison. (Negara: Perancis. Bahasa: Perancis)

large_y2bq9nql2gjyripxvpblkcnolvp

Filem ini dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai “In the House.” Ini filem Perancis tentang sastera dan proses menghasilkan karya oleh para penulis. Ia menimbulkan persoalan moral terutamanya apabila melibatkan watak yang dibabarkan dalam karya. Setiap kali seorang penulis mendedahkan sesuatu dalam karya, adakah beliau sedang kehilangan pemilikan ke atas sebahagian dirinya sendiri? Apakah hakikat sebuah karya yang baik?

 

  1. Captain Fantastic (Negara: Amerika Syarikat. Bahasa: Inggeris)

mv5bmje5otm0oty5nf5bml5banbnxkftztgwmdcxotq3ode-_v1_uy1200_cr9006301200_al_

Ini bukan filem superhero, walaupun bunyinya sebegitu. Ia memaparkan satu keluarga yang cuba untuk hidup di luar norma masyarakat kapitalis. Seorang ayah yang sangat komited dengan nilainya, dan bagaimana reaksi mereka apabila suatu ketika, mereka terpaksa keluar menghadapi masyarakat kapitalis di luar.

 

  1. Tokyo Sonata (Negara: Jepun. Bahasa: Jepun)

large_gj6a3q8tvlgehh3ckfcbvkn2ru1

Ini pula bukan filem cinta, walaupun bunyinya sebegitu. Bagi saya, ia memaparkan persoalan eksistensialisme, iaitu tentang pilihan dalam hidup, tujuan hidup, dan kekarutan segala sesuatu dalam kehidupan (absurdism). Seorang ayah yang kehilangan pekerjaan akibat tekanan ekonomi, isteri yang tertindas keinginan material dan seksualiti, dan anak yang tidak tahu apa yang ia mahu. Suka atau tidak, itulah realiti pahit kita semua yang sedang kita dakap kini.

 

  1. The Hunt (Negara: Denmark. Bahasa: Danish)

the-hunt

Filem dari Denmark ini memenangi banyak anugerah antarabangsa. Ia cuba mencabar andaian kita selama ini bahawa kanak-kanak akan “sentiasa bercakap benar.” Pada masa yang sama, ia turut membawa persoalan tentang stigma sosial ke atas perilaku seksual dan implikasi yang wujud daripadanya. Boleh jadi, ia juga merupakan kritikan ke atas orientasi undang-undang Eropah melibatkan kes kanak-kanak.

 

  1. Zindegi Na Milegi Dobara (Negara: India. Bahasa: Hindi dan Sepanyol)

zindaginamilegidobara

Filem Bollywood ini amat indah estetikanya—visual mahupun linguistik. Penulis skripnya adalah Farhan Akhtar (juga pelakon di dalam filem ini), salah seorang penyair popular kontemporari. Ia berkenaan tiga orang sahabat yang masing-masing punya ketakutan jua kegagalan tersendiri, mereka bertemu kembali suatu ketika di Sepanyol. Sepanjang pengembaraan mereka, di situlah mereka cuba dan mula mengenal diri sendiri sedikit demi sedikit. Ia filem yang amat memuaskan jiwa, akal, dan deria.

Advertisements