Prolog

Ketika itu bulan Jun 2015, beberapa hari sebelum bermulanya Ramadan. Saya sudah pun merasa tidak selesa dan sakit kepala memikirkan kerja-kerja di pejabat, kerana sememangnya saya membenci kerja itu. Tetapi buat masa sekarang, tiada apa yang boleh dilakukan kerana saya sendiri tidak mampu membayar hutang belajar—justeru perlu bekerja sehingga habis tambatan hutang selama enam tahun.

Beberapa hari sebelumnya, saya melihat seorang rakan di laman sosial menulis, bahawa Pesta Buku Frankfurt adalah yang terbesar di dunia setakat ini. Beliau ini memang terkenal dengan perniagaan buku yang dijalankannya selama dua tiga tahun ini, dan buku-buku jualannya pula daripada kelompok ilmiah yang autoritatif. Jadi tak hairanlah beliau tertarik dan mengenal rapat dengan pesta buku di Eropah sebegitu.

Maka saya pun mencari-cari tiket kapal terbang di laman sesawang yang berkaitan, dan terjumpa tiket yang saya pun tidak percaya semurah itu. Selepas berfikir sehabisnya, terus saya beli tiket penerbangan Kuala Lumpur-Frankfurt itu. Mungkin, mungkin Tuhan sengaja ingin membantu, saya berkira-kira dalam hati. Waktu transaksi pembelian dilakukan itu, saya ingat pada waktu sahur 2 Ramadan.

Sebenarnya dalam beberapa bulan ini, saya ingin sekali mengetahui tentang Jerman dan warisan sejarah serta keilmuannya yang kaya. Masakan tidak, individu-individu seperti Johann Sebastian Bach, Johann Wolfgang von Goethe, malah Albert Einstein sendiri pun lahir, belajar, dan membesar di ranah itu. Tambahan lagi, jika kita membaca karya berani Brendan Simms, Europe: The Struggle for Supremacy 1453 – The Present, kita akan melihat bahawa memang sejak zaman pertengahan Eropah pun, dari sudut politik dan ekonomi, tanah Jerman itu lebih subur, gemilang dan stabil berbanding kawasan lain di Eropah. Seterusnya, dapat kita lihat bahawa perjalanan sejarah dunia tidak sunyi daripada perkaitannya dengan Jerman, dari sudut politik ataupun kesarjanaan sekalipun. Ingat peristiwa Yalta dan Potsdam? Atau Westphalia? Atau lebih mutakhir, Tembok Berlin?

Dan saya juga memang baru saja jatuh cinta dengan Cantata dalam “B” Minor yang dinukil oleh Bach, justeru itu juga mempengaruhi keputusan saya ketika itu. Bach, pada hemat saya, berbeza dengan Beethoven atau Mozart, dari sudut “mood” karya-karyanya yang rumit, kompleks, dan mengghairahkan. Mungkin saja itu disebabkan oleh keanggotaan dan kesukaannya menulis untuk mass di gereja, yang memiliki elemen ‘sakral’ dalam karya-karyanya itu. Malah, sehingga hari ini, Cum Sancto Spiritu gubahannya, yang juga dianggap sebagai adikaryanya, masih lagi mekar mewarnai mass di gereja-gereja terutamanya di Eropah. Bach ini, tidak syak lagi, hidupnya kekal abadi melalui keabadian yang indah sekali.

Johann Sebastian Bach

Beberapa hari sebelum berangkat ke Frankfurt, saya merasa tidak senang duduk, dan hampir-hampir pula menyesal membeli tiket beberapa bulan sebelum itu. Apa yang saya rasakan pada ketika itu, ialah satu ketidaktentuan dalam diri, soalan-soalan seperti “betulkah aku nak pergi?”, “aku akan pergi seorang diri, mampukah?”, “bukankah lebih baik duduk di rumah di atas keempukan tilam dan membaca buku sambil berbaring?” dan lain-lain lagi menghantui saya terus-menerus. Saya bingung dan kaget dengan apa yang diri sendiri hadapi itu. Sebenarnya jika difikirkan semula, tak wajarlah saya takut kerana ini ialah kali kedua saya mengembara seorang diri, sebelumnya saya ke Belanda juga seorang diri. Tetapi entah mengapa, perasaan ragu itu amat mencengkam diri beberapa hari sebelum berangkat.

Sementelah keraguan yang mendalam itu masih menghinggap rongga sukma, saya meladeninya semula. Sebenarnya, mengapa saya merasa sebegitu? Mengapa saya boleh merasa lebih baik duduk di tempat yang saya selesa kini, dan tidak memilih untuk sesuatu yang secara relatifnya lebih “bebas”? Akhirnya ia kembali kepada persoalan di titik paling asas, iaitu manusia dan kebebasan. Manusia, dengan fakulti rasionalnya, kita tahu bahawa ia akan sentiasa memilih sesuatu yang ia yakini baik untuk dirinya. Secara falsafi dan psikologi, intuisi kita akan mengatakan bahawa memberi kebebasan untuk seseorang itu melakukan apa yang ia ingini adalah lebih baik daripada mengehadkan kebebasan dalam upayanya melakukan perkara tersebut. Tetapi lihatlah, apabila saya sendiri bebas untuk keluar mengembara, saya merasa takut, gundah, dan berat, bahkan saya memiliki perasaan yang kuat bahawa duduk melepak sambil membaca buku di rumah adalah lebih baik. Mengapa?

Manusia, sepertimana juga makhluk-makhluk lain, akan memiliki kecenderungan terhadap kepastian (certainty) berbanding ketidakpastian (uncertainty) Hal inilah yang menghalang ramai sekali manusia untuk keluar meneroka di luar ruang cakupannya sendiri—meneroka tempat-tempat baru, meneroka ilmu, perangai manusia yang berbagai-bagai, dan bermaca-macam hal lagi. Mungkin fakulti rasional itu sendiri yang mengatakan bahawa adalah lebih baik kekal dengan hal yang pasti berbanding terjun ke dalam hal yang tidak pasti lagi, menyebabkan wujudnya kecenderungan ini. Manusia takut meneroka ilmu baharu terutamanya yang ia tak pernah geluti dengan pelbagai alasan—takut sesat, takut terpesong, takut itu dan ini. Seperti juga dengan kegundahan sebelum mendakap kebebasan dengan keluar mengembara. Tetapi ironisnya, jika kecenderungan itu digerakkan oleh fakulti rasional, maka cara terbaik untuk mengembangkan fakulti rasional—yakni melalui jalan penerokaan ilmu—ialah melawannya?

Justeru, sekalipun secara falsafi, hujah bahawa kebebasan adalah sesuatu yang perlu dipertahankan dalam zatnya sendiri jua sebagai matlamat etika adalah sesuatu yang ampuh, namun sebenarnya mahukah manusia pada kebebasan? Hakikatnya, sejarah melalui pengembangan ilmu dibentuk oleh manusia-manusia yang berani, berani memecahkan norma, mencabar dogma, dan mendepang keluar sempadan keilmuan sedia ada. Untuk menghilangkan ketakutan itu, haruslah pertama sekali kebebasan dijamin, agar manusia mampu membuat pilihan. Tetapi sekalipun begitu, akhirnya manusia itu juga yang memilih untuk memanfaatkan kebebasan itu ataupun tidak.

Sememangnya hal paling susah dilakukan adalah untuk keluar menuju ke stesen pertama, dalam mana-mana pengembaraan pun. Keluar daripada ranah yang kita sudah biasa, merupakan upaya yang menuntut kekuatan berkali ganda daripada apa yang kita sedia miliki. Saya membulatkan tekad akhirnya, bahawasanya jika saya sedia mengorbankan keselesaan untuk ke sana, saya wajib memenuhinya dengan segala yang bermanfaat demi umat manusia sejagat.

Duhai kembara,

Apakah yang engkau cari,

Jika akhir kau temui,

Hanyalah dirimu sendiri?

Bukankah ketika sekawan mergastua berterbangan gagah dan berani mencari Simorgh, mereka akhirnya menemui sesuatu yang amat mendalam maknanya, yakni diri mereka sendiri? Bukankah makna menuntut ilmu itu juga, adalah suatu proses yang mana kita pergi lebih jauh, untuk mampir lebih dekat dengan diri?

 

Tiba di Frankfurt

Saya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt pada pagi Sabtu 10 Oktober. Ketika itu masih awal pagi, jadi jalan-jalan di Frankfurt masih lengang.

Setibanya di lapangan terbang, dalam perjalanan ke kaunter imigresen, saya secara tidak sengaja—sebenarnya disebabkan beliau menemui satu beg yang tidak diketahui pemiliknya di ruang menunggu dan terus memanggil saya untuk membantu memanggil polis—bertemu dengan seorang rakan dari Vietnam, yang memperkenalkan dirinya sebagai Lam Wu (jika saya mendengarnya dengan tepat). Beliau ke Jerman kerana ingin meneruskan PhD dalam bidang kejuruteraan maklumat (information engineering) di Karlsruhe. Kata beliau, Jerman sangat maju dalam bidang tersebut sekarang, dan profesor beliau merupakan antara ilmuwan yang sememangnya menyelam dalam bidang tersebut sejak sekian lama. Kajian yang akan beliau lakukan akan melibatkan persoalan bagaimana untuk mengira pengaruh maklumat (yang bukan material) terhadap perubahan material, seperti perubahan hormon dalam badan dan sebagainya.

Mendengar perkara tersebut, saya terus tertarik dengan perbahasan itu. Hal ini kerana, dalam falsafah juga, kita menemui beberapa eksperimen minda tentang hal tersebut. Pada kebanyakan masa, kita akan mengambil apa-apa tindakan dan menganggap tindakan itu bermakna hanya disebabkan beberapa maklumat, walaupun maklumat itu masih kabur dan tidak jelas seratus peratus. Contohnya, seperti yang pernah diungkap Profesor Samuel Scheffler dalam salah satu syarahannya, bayangkan pada hari ini kita mengetahui—melalui mimpi, wahyu, atau apa-apa sajalah—bahawa suatu hari nanti, mungkin sebulan selepas kematian kita, semua manusia di muka bumi ini akan mati secara tiba-tiba, tiada seorang pun yang tinggal. Dalam keadaan seperti itu, adakah semua perkara yang kita sedang lakukan sekarang masih mengandung makna yang serupa, atau maknanya sudah berubah, malah mungkin meneluwap hilang sama sekali? Sebagai contoh, kajian-kajian tentang kanser, atau kajian falsafah tentang “apakah masyarakat yang adil”? Adakah semua ini masih bermakna jika kita mengetahui dengan pasti, bahawa sebulan selepas kita mati, semua umat manusia akan mati tanpa seorang pun yang hidup?

Dalam syarahan itu, pelbagai perspektif telah dibahaskan Profesor Scheffler. Di sinilah, saya mengingat bahawa peri pentingnya kita mendefinisikan sesuatu yang “baik” dan “buruk” itu, dan bagaimana kita menjustifikasikan hujah kita juga amatlah penting. Andaian bahawa sesuatu yang baik adalah sesuatu yang memberi kesan baik sememangnya boleh berdiri, tetapi dalam kes sebegini tampaknya hujah itu sekaan rapuh. Buat apa mahu mengkaji tentang kanser lagi, jika kita tahu bahawa tiada orang akan mengambil manfaat itu selepas sebulan, disebabkan tiada seorang pun manusia yang tinggal? Buat apa mengkaji falsafah yang dalam-dalam lagi, sedangkan tiada siapa yang akan menikmati faedah selepas itu?

Di titik inilah, harus juga kita melihat sisi deontologi sesuatu perlakuan itu, bahawasanya kita katakan yang sesuatu itu “baik” kerana zatnya sendiri. Kita menuntut ilmu sedang melakukan sesuatu yang “baik” kerana perbuatan itu sendiri adalah “baik”. Ilmu adalah sesuatu yang “baik”, dan meningkatkannya dalam diri kita pastilah juga sesuatu yang “baik”. Bukan kita katakan bahawa “adalah baik menuntut ilmu kerana ia akan membuka peluang pekerjaan”—di peringkat masyarakat awam hujah ini masih boleh dipakai, tetapi bagi kita para penuntut ilmu, kita harapkan bahawa kita menuntut ilmu kerana ilmu, bukan kerana sesuatu yang eksternal seperti peluang pekerjaan, kekayaan dunia, pangkat-kuasa, dan lain-lain lagi. Begitu juga dalam tradisi Islam, jika kita melihat ungkapan (saya tak pasti ini daripada hadis atau kata-kata ulama’) bahawa: “jika di tanganmu ada benih pohon, dan esok adalah hari kiamat, maka tanamlah pohon itu.” Idea yang melatari kepercayaan ini adalah sesuatu yang amat besar dan mendalam untuk direnung sebenarnya, apabila ia meletakkan idea bahawa jika kita sedang melakukan sesuatu yang baik, teruskanlah melakukannya walaupun kita tahu bahawa ia tidak akan membawa apa-apa hasil. Ungkapan ini sangat deontologikal dari sudut perbahasan etika, apabila ia melihat perbuatan itu secara langsung demi menonjolkan nilainya. Justeru, makna yang kita lekapkan pada sesuatu perbuatan itu bukan sekadar melihat “apa jadi jika aku buat ini”, tetapi juga dari dimensi “apa benda yang aku buat ini”.

Selesai dengan pemeriksaan imigresen, saya terus ke bilik tuntutan bagasi. Saya bawa tiga beg, satu beg galas untuk komputer riba dan buku tulis, satu beg pakaian, dan satu lagi beg kosong untuk diletakkan buku-buku. Saya yakin pasti akan penuh beg dengan buku nanti, berdasarkan pengalaman saya memburu buku di London pada Mac lalu. Terima kasih kepada sahabat, sdr Amir al-Helmy yang meminjamkan satu beg beliau untuk memuatkan buku-buku dari London untuk dibawa pulang ke Malaysia pada ketika itu.

Saya kemudiannya bergegas membeli beberapa barangan asas seperti barang kelengkapan diri dan juga penyesuai plag elektrik, dan selepas itu bersarapan di kedai Coffee Fellows. Menghirup kopi segar, diri jadi bertenaga semula selepas penerbangan panjang daripada Kuala Lumpur, kemudian ke Saigon sebentar dan seterusnya terus ke Frankfurt. Saya menoleh ke luar tingkap, dedaun musim gugur sedang mengguyur manja, menandakan bahawa dunia di hemisfera utara itu kian menyejuk sebelum tibanya musim dingin. Angin di luar meliuk-liuk menolak daun di ranting, sesetengahnya gugur dan sesetengah yang lain masih bertahan, menggarap erat-erat ranting mereka sambil ditolak angin yang rakus menghembus. Masa itu, kebanyakan pohon masih berdaun, tetapi pada saya, masa itulah yang paling indah. Warna-warna keemasan, kekuningan, dan kemerahan bergentayangan pada pohon-pohon, seolah-olah memantul langsung cahaya yang bersimbahan dari mentari pagi.

Setelah siap bersarapan dan mencatat jelas-jelas jalan yang akan dilalui untuk tiba di hostel penginapan, saya langsung ke stesen kereta api di Terminal 1. Di stesen Frankfurt Flughafen Regionalbahnhof itu, saya melihat-lihat sekeliling. Menaiki kereta api, terus ke stesen ketiga, iaitu Frankfurt Hauptbahnhof (singkatannya “Hbf”). Sampai ke stesen Frankfurt Hbf itu, saya meneliti sekeliling melihat keramaian insan. Riuhnya seperti yang biasa saya temui di stesen Manchester Piccadilly atau London Euston suatu ketika dahulu. Ramai sekali manusia, berjalan dengan arah dan tujuan mereka sendiri, demi melaksanakan hasrat dan impian masing-masing. Ada yang berseorangan, berpasangan, berkumpulan. Dan saya di sini, berjalan seorang diri di bumi asing.

Setelah dua kali tersalah stesen kereta api, akhirnya saya tiba ke stesen Galluswarte. Berjalan lebih kurang 100 meter dan bertanyakan pada orang sekeliling yang lalu-lalang, akhirnya saya ketemu juga dengan hostel penginapan untuk dua malam selepasnya.

Beberapa hari sebelum saya ke Jerman, seorang rakan aktivis Buku Jalanan Jerman, sdr Putri Nurfariza telah menghubungi saya, mengajak untuk diadakan pertemuan bersama para penggerak Buku Jalanan di Stuttgart. Saya mengiyakan saja, tambah-tambah lagi tiket bas dan tren mereka sudah bayarkan untuk saya. Terima kasih kepada mereka atas segala kebaikan dan bantuan yang dihulurkan sepanjang saya di sana.

Sesampainya di sana, saya terus meneroka ke sekeliling tempat itu. Banyak sekali poster-poster dilekatkan di sepanjang jalan, dan kebanyakannya berkisar program kebudayaan dan kesenian yang sedang rancak diadakan di sekitar bandar Frankfurt. Salah satu poster, saya rasa saya masih ingat, tajuk besarnya “Dialog der Meisterwerke”, yang ketika itu saya sudah boleh terjemahkan sebagai “dialog dengan (?) adikarya”. Ia merupakan pameran kesenian terutamanya seni lukis daripada gaya klasik, renaissance dan baroque di salah satu muzium di Frankfurt. Saya bertekad untuk ke situ juga menyaksikan karya-karya itu, tetapi apakan daya, tidak berkesempatan akhirnya.

Frankfurt

Frankfurt

Frankfurt, lagi.

Frankfurt, lagi.

Malam itu pula, selepas makan malam, saya meneroka lagi sekitar hostel tempat saya tinggal itu. Bertemu dengan satu kompleks membeli-belah, iaitu Skyline Plaza. Di dalamnya pula, saya mahu mencari kedai buku, kerana itulah saja yang saya anggap bermanfaat untuk dilawati di pusat membeli-belah (selain kedai makan yang sememangnya paling penting). Saya bertemu, setelah pencarian yang sedikit melelahkan, dengan kedai buku Osiander, yang labelnya mengatakan bahawa mereka sudah pun menjual buku sejak tahun 1596. Jika difikirkan semula, bersama dengan perkembangan yang berlaku di Jerman pada abad ke-16, adalah tidak menghairankan jika ada kedai buku yang menganggap sejarahnya bermula seawal itu, kerana pada masa itulah juga percetakan buku besar-besaran mula muncul di Jerman dengan revolusi Gutenberg, yang mana mereka mula-mula mencetak kitab Bible untuk bacaan orang ramai. Peristiwa inilah juga yang membawa kepada Reformation yang tersohor itu, bilamana Martin Luther memaku sembilan puluh lima tesis beliau di pintu gereja Katolik. Bukan saja di dunia Kristian, tetapi sebenarnya di dunia Muslim juga, perkembangan ini memberi kesan besar dan mendalam, apabila persoalan seperti teologi, kedudukan agamawan, autoriti pentafsiran kitab suci, malah persoalan hakikat ilmu dan pengkaryaan sekalipun dibawa semula ke muka perbahasan ilmiah. Bagi saya, ini merupakan perkembangan yang amat baik bagi ketamadunan manusia secara umumnya, biarpun secara jangka pendek, perpecahan yang berdarah adalah harga yang perlu mereka bayar.

Kedai buku Osiander yang beroperasi sejak 1596

Kedai buku Osiander yang beroperasi sejak 1596

Osiander

Di sana, saya kagum sekali dengan progres penterjemahan karya di Jerman. Manakan tidak, buku-buku berbahasa Inggeris yang baru saja terbit terus diterbitkan dalam bahasa Jerman pula. Begitu juga dengan buku-buku Indonesia, bahkan mereka sendiri punya rak berasingan pula untuk buku dari Indonesia. Satu saja yang saya boleh fikirkan kala ini, bahawasanya iklim penerbitan buku di Indonesia jauh lebih maju berbanding kita di Malaysia. Selain itu, ada juga buku-buku sejarah dan falsafah, dan satu set karya Goethe di rak kesusasteraan. Selepas bertanyakan kepada rakan-rakan Buku Jalanan, kata mereka beli buku di kedai buku terpakai adalah lebih murah dan berbaloi, justeru saya membatalkan niat membeli buku Goethe di situ.

Di bahagian ini semuanya buku-buku Indonesia.

Di bahagian ini semuanya buku-buku Indonesia.

Malam itu, selepas mendapatkan maklumat untuk pertemuan pagi esoknya dengan rakan-rakan Buku Jalanan, saya terus memanjat katil dan melelapkan mata.

 

Pertemuan di Stuttgart

Perjalanan ke Stuttgart mengambil masa lebih kurang tiga jam dari Frankfurt dengan menaiki bas, yang harga tambangnya jauh lebih murah berbanding tren. Kata Putri yang menguruskan pertemuan itu, adalah paling baik untuk bertemu di Stuttgart kerana ramai rakan-rakan berasal dari tempat berbeza—beliau dari Karlsruhe, Nafiz dan Aqilah dari Mannheim, Syakir dari Baden, Diyanah dari Reutlingen, dan Masyitah dari Stuttgart sendiri. Stuttgart terletak lebih kurang di tengah-tengah antara semua tempat itu, dan paling mudah untuk kami semua bertemu.

Sebelum menaiki bas, saya bersarapan di sebuah kedai kebab Turki berhampiran tempat menunggu bas. Mereka yang duduk di belakang meja saya berasal dari Indonesia, dan saya sempat juga bertegur sapa dengan mereka. Kata mereka, sudah lama mereka tinggal di Jerman. Entah mengapa, rakyat Indonesia ramai sekali yang menetap di Jeman. Jika di Belanda dahulu, juga ada ramai rakyat Indonesia, tetapi hal itu difahami kerana Belanda merupakan bekas penjajah mereka dahulu. Sepertimana ramainya rakyat Malaysia di London, begitulah juga ramainya rakyat Indonesia di Amsterdam. Tetapi jika di Jerman, saya masih belum mengetahui sebabnya. Sehinggakan, menurut rakan yang saya temui di Festival Idearaya tempoh hari, Gendo Suardana, rakyat Indonesia di Hamburg, Jerman akan mengadakan acara “Pasar Hamburg” pada penghujung September saban tahun.

Kali pertama saya menaiki bas di Jerman adalah pada hari kedua saya di sana, iaitu Ahad 11 Oktober, jam 8.15 pagi. Setelah tiga jam perjalanan, saya tiba di stesen bas Stuttgart berhampiran stesen tren Zuffenhausen, pada lebih kurang jam 11.30 pagi. Putri memaklumkan melalui telefon bahawa mereka akan tiba sedikit lewat, memandangkan ada masalah yang dihadapi oleh kereta api yang mereka naiki (ketika ini, saya teringat perjalanan London-Durham bersama Dr Maszlee Malik pada Mac lalu, apabila berhampiran stesen Durham, ada percubaan membunuh diri di landasan kereta api. Hal itu menyebabkan perjalanan tersekat selama setengah jam. Maka saya anggap, mungkin mereka menghadapi masalah sebegitu juga di Jerman). Katanya, lewat 20 minit. Tak mengapa, kerana saya boleh melawat-lawat kawasan sekitar.

Berhampiran stesen Zuffenhausen di Stuttgart itu, saya melangkah sedikit demi sedikit menjauhi stesen. Ada jalan kecil melereng ke kaki bukit, dan diapit oleh deretan rumah serta kedai-kedai kecil. Sungguh indah sekali! Saat ini saya teringatkan perjalanan ke Durham itu juga, apabila saya jatuh cinta dengan Durham—yang pemandangan jalan-jalan dan deretan rumahnya amat serupa dengan yang saya lihat di Zuffenhausen itu. Durham juga ialah kota lama, sejarahnya tercatat melebihi seribu tahun lamanya, terutamanya sejarah Venerable Bede yang kini digelar Bapa Persuratan Inggeris itu, dan Durham Cathedral yang menggamamkan mata itu. Jika di Durham, di sekeliling bukit yang mana letaknya gereja tersebut dikelilingi oleh terusan dan sungai, yang menjadikan pemandangannya, khususnya kala senja berlabuh, amat indah dan menenangkan jiwa. Ritma alam yang bergeseran dengan nadi insani menerbitkan rasa jiwa nan halus, yang terlakar di kalbu manusiawi.

Lebih kurang jam 12.10 tengah hari, Putri meminta saya untuk bergegas ke platform dua, dan terus menaiki tren S5 yang bakal sampai itu. Lebih kurang tiga minit menunggu, tren itu pun tiba dan saya menaikinya, lantas menemui mereka di gerabak tengah tren tersebut. Saat itu, saya mula mengenal Nafiz dan Aqilah, dua orang lagi penggerak Buku Jalanan Jerman. Nafiz ialah seorang yang suka bercerita, banyak menceritakan pengalamannya sebagai seorang penuntut ilmu di Mannheim. Aqilah pula, kelihatannya seorang yang pendiam yang tidak banyak bercakap, tetapi selalu sahaja tersenyum ketika kami adanya persoalan yang diajukan kepadanya.

Lebih kurang 15 minit kemudian, kami tiba ke stesen Stuttgart Hbf, stesen kereta api utama di tengah-tengah bandar Stuttgart itu. Stuttgart ialah bandar yang indah, bersih, dan seni binanya mengekalkan warisan tradisi mereka, walaupun kebanyakannya adalah banginan pasca-perang. Kami memutuskan untuk makan dahulu, dan Masyitah membawa kami ke kedai makan di sebuah pusat beli-belah. Tetapi kedai di situ tutup pula, disebabkan hari itu hari Ahad. Justeru, kami kemudiannya berpindah ke kedai makan bertemakan Thailand, Tiffany yang sememangnya terkenal di Stuttgart itu. Makanan di situ enak sekali, dan pedas cilinya juga pedas asli yang panas dan mencucuk.

Makan tengah hari. Kredit gambar: sdr Putri Nurfariza

Makan tengah hari. Kredit gambar: sdr Putri Nurfariza

Ketika makan, Syakir banyak mengajukan persoalan dan kami memulakan perbincangan yang agak rancak juga. Beliau merupakan mahasiswa bidang kejuruteraan, tetapi banyak juga membaca buku-buku sejarah dan falsafah. Katanya mahu menyambung pengajian dalam arena sains sosial, dan saya pula menggesanya berbuat demikian. Begitulah sepatutnya, kerana pencarian ilmu di peringkat pasca-siswazah seharusnya adalah pencarian yang akan berkekalan sepanjang hidup, maka carilah yang paling berkenan di jiwa. Akhirnya, kita bukan sekadar belajar, tetapi kita juga mampu menyumbang dengan penuh kepuasan dalam upaya membenihkan tunas-tunas keilmuan baharu dalam bidang tersebut.

Seusai makan, kami dibawa bersolat di salah sebuah masjid Bangladesh di situ. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke salah sebuah muzium, Lundesmuseum yang banyak memaparkan karya-karya seni. Bahkan jika dilihat kepada seni binanya sekalipun, ia banyak mengambil motif binaan Eropah pra-industri, mungkin kerana ingin memaknai semangat binaan itu sendiri. Seperkara yang saya rasa di sini, adalah penguasaan bahasa selain bahasa Inggeris adalah amat penting, terutamanya jika kita mahu menjadi ilmuwan yang serius menggeluti tradisi kesarjanaan sedia ada. Hampir semua bahan pameran di muzium itu ditulis penerangannya dalam bahasa Jerman. Sebab itulah, jika kita mahu meneliti tradisi kesarjanaan Barat, tidak dapat tidak kita wajib menguasai sekurang-kurangnya bahasa Inggeris, Jerman, dan Perancis. Lihat saja buku-buku terbitan mereka, terlalu banyak yang masih belum atau tak pernah langsung diterjemah ke bahasa Inggeris. Selain itu, tradisi Muslim juga ialah sesuatu yang agam dan mengagumkan, justeru bahasa Arab juga adalah kewajipan kita untuk dipelajari andaikata kita benar-benar mahu memesrai kesarjanaan dunia kontemporari. Di muzium itu, sebelum berpisah, saya membeli buku “Atlas der Weltgeschichte” (Atlas Sejarah Dunia) untuk dibawa pulang.

Di Lundesmuseum, Stuttgart.

Di Lundesmuseum, Stuttgart.

Lebih kurang jam 5.20 petang, kami semua berpisah di stesen Stuttgart Hbf. Syakir dan Diyanah mengambil tren mereka masing-masing, dan saya pulang bersama Nafiz, Putri dan Aqilah—melalui Karlsruhe menghantar Putri, kemudiannya terus ke Mannheim. Di Mannheim pula, saya akan menaiki bas pulang ke Frankfurt. Ketika di dalam tren, perbincangan diteruskan lagi. Ketika itu, Nafiz yang paling aktif bercerita, menceritakan betapa gembiranya beliau berkenalan dengan rakan-rakan Buku Jalanan Jerman, terutamanya yang lebih kurang sama minat dengannya. Saya kala itu, tidak dapat membayangkan perasaannya jika Manchester itu juga sama keadaannya seperti tempat-tempat di Jerman yang amat sedikit mahasiswa Malaysia. Mungkin saya akan kemurungan ketika itu, atau mungkin saya akan lebih aktif lagi, tiada siapa yang tahu. Apa-apa pun, saya kagum dengan kesungguhan rakan-rakan di Jerman itu.

Saya tiba di stesen bas Frankfurt pada lebih kurang jam 9.45 malam. Pada malam nan dingin itu, saya terus berjalan sedikit demi sedikit pulang ke hostel untuk melelapkan mata. Ia hari yang panjang, memenuhkan, serta mencerahkan.

Terima kasih, rakan-rakan.

Ujar Sang Pujangga;

Bukankah ia satu kenikmatan, tatkala kita bertemu rakan yang berfikir seperti kita, yang mampir dari jauh?

HAZMAN BAHAROM

 

 

 

 

Advertisements