Persoalan tentang sejarah dan manfaatnya untuk anak-anak satu bangsa manusia sudah lama bergulir dalam wacana-wacana sejak zaman bahari lagi, kala manusia mula memiliki tulisan dan mencatat sejarahnya sendiri. Jika di Malaysia, pembelajaran sejarah secara serius bermula di sekolah menengah, sebagai salah satu subjek wajib dalam peperiksaan utama. Biarpun kita sudah lama menerapkan subjek ini dalam pengajian wajib anak bangsa kita, tetapi saya masih mengesan beberapa hal yang saya kira wajar diperhatikan bersama berkait cabang ilmu maha penting ini.

Sehingga kini, kita jarang membahaskan secara serius akan kepentingan memahami sejarah—sama ada sebagai naratif masa lampau atau sisi falsafah kemanusiaan—serta kaitannya dengan hal-hal yang bersifat semasa. Yang ada pun, hanyalah beberapa noktah ringkas yang tidak dihurai mendalam dalam buku teks seperti ‘meningkatkan jati diri’ dan sebagainya, yang lantas hanya menjadikan pelajar tidak memahami secara tuntas, dan akhirnya menghafal sahaja untuk dimuntahkan di dewan peperiksaan.

Sejarah ialah pengalaman kolektif sesuatu komuniti manusia, sama ada di peringkat keluarga, masyarakat atau negara. Dengan menyatakan hal ini, tidaklah saya maksudkan secara muktamad bahawa sejarah didefinisikan melalui kewujudan manusia, walaupun dalam wacana yang dominan kini, itulah yang berlaku sehingga menimbulkan perbezaan istilah sejarah dan prasejarah. Daripada hubungan sebab dan akibat, sejarahlah yang menjadi titik penghubung antara masa lampau yang tidak terjangkaukan dengan masa kini yang sedang kita duduki. Kesan daripada peristiwa yang telah berlaku pada zaman dahulu menjadi penyebab kepada berlakunya sesuatu yang lain yang kemudiannya mencetuskan segala yang wujud pada zaman ini. Maka bolehlah kita katakan bahawa perjalanan sejarah itu sendiri sebagai satu continuum, ruang yang sentiasa bergerak ke suatu arah yang mungkin saja tidak kita ketahui[1].

Makalah ini akan melakukan sesuatu yang sudah biasa dilakukan, yakni melihat sejarah sebagai dirinya sendiri demi menonjolkan kepentingan memahaminya dalam kalangan masyarakat. Saya akan berhujah bahawa anak bangsa yang berwibawa, yang mampu menghadapi tantangan zamannya demi membangunkan bangsanya adalah mereka yang memiliki asas ampuh dalam pengalaman kolektif bangsanya suatu ketika dahulu. Pengalaman inilah yang wujud dalam garis lurus yang sampai kepada titik hari ini telah membentuk logik yang menentukan cara fikir dan bekerja masyarakat tersebut. Maka, setiap pembangunan sama ada ekonomi, politik atau sosial mestilah berpaksikan logik ini. Di sini, saya juga akan mengkritik hal ini dan menawarkan beberapa cadangan untuk memperbaiki masyarakat kita.

Hakikat Sejarah

Maka apa itu sejarah?

Sejak zaman persekolahan, kita selalu membaca sejarah (atau lebih tepat; diajar) melalui pendekatan sebagai sebuah prosa naratif, yakni bercerita tentang apa yang telah berlaku, di mana ia berlaku bersama tokoh-tokoh yang terlibat. Inilah pendekatan yang selalu digunakan kita bagi mengajar dan mempelajari sejarah yang dominan kini. Tetapi persoalannya, adakah sejarah sekadar itu sahaja?

Saya akan berhujah bahawa sejarah bukan sekadar itu sahaja. Ia pengalaman manusia yang kolektif, dan kewujudan manusia dalam lingkungan ruang-masa itulah yang telah mendefinisikan perjalanan sejarah. Maka, disebabkan manusia tidak dapat wujud dengan sendirinya dalam satu ruang kecuali ia perlu bergantung harap kepada hal-hal lain yang sifatnya di luar zat manusia, sejarah perlulah juga melampaui cerita manusia itu sahaja. Maksud saya, pengalaman kolektif masyarakat itu bukan terbina sendiri, tetapi mestilah ada faktor yang telah mempengaruhi perjalanannya seperti geografi, politik, demografi, dan ekonomi. Maka oleh sebab itulah, sejarah pada hakikatnya wajar dilihat secara total perkaitan manusia dengan unsur sekelilingnya, bukan hanya manusia itu dengan dirinya sendiri sahaja. Ia membentuk struktur keseluruhan yang bersepadu sifatnya. Walhasilnya, pandangan sejarah yang akan kita tinjau bukan lagi yang berbentuk penceritaan seperti prosa semata-mata.

Pendekatan ini mengambil kira bukan sahaja catatan sejarah yang berasaskan peristiwa, tetapi juga struktur masyarakat secara keseluruhan serta perubahan-perubahan yang melatarinya. Antara kelompok sejarawan yang mengajukan pendekatan ini ke dalam kesarjanaan sejarah termasuklah sekolah Annales yang dianggotai sejarawan ulung Eric Hobsbawm dan Fernand Braudel itu. Braudel malahan, melalui kompilasi syarahan beliau On History telah secara spesifik berhujah bahawa kajian sosiologi mengenai struktur masyarakat adalah amat penting bagi memperkaya khazanah keilmuan dalam bidang tersebut. Saya khususnya menerima pendekatan sebegini kerana ia membuka lebih banyak lembaran baharu dalam mengenal serta memahami peradaban manusia secara keseluruhan dan tuntas. Perkara ini khususnya penting dalam mengenal pasti kepentingan-kepentingan yang bakal terbit daripada disiplin ilmu sejarah ini, seperti yang akan kita bincangkan selepas ini.

Apabila kita berbincang mengenai sejarah, kita tidak dapat lari daripada meneliti sumber maklumat yang kemudian diangkat sebagai dokumen sejarah tersebut. Sumber merupakan elemen yang paling penting dalam persejarahan, dan di sinilah juga kita perlu menilai secara kritis.

Antara sumber yang dikategorikan sebagai sumber primer ialah catatan dan artifak dari sesuatu zaman dan tempat yang dikaji. Suatu hal yang kritikal untuk dikenal pasti ialah betapa terdedahnya sesuatu catatan itu kepada unsur-unsur seperti kecenderungan politik serta pengaruh ideologi si penulisnya. Dengan istilah ‘ideologi’, saya maksudkan sebagai satu fungsi yang mengawal tingkah laku dan gaya fikir seseorang, bukannya dengan maksud yang sering difahami massa, yakni satu set idea yang diikuti secara sedar dan proaktif. Setiap orang akan mempunyai ideologi yang berfungsi ke atasnya tanpa ia sedar setiap kali ia membuat keputusan untuk melakukan sesuatu. Sebagai contoh yang mudah, pilihan antara mahu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan bekerja kemudian, atau terus ke pasaran kerja dan memperoleh gaji yang tinggi. Kebanyakan anggota masyarakat kita akan memilih yang kedua, dan pilihan itu pastinya tertakluk kepada fungsi ideologi yang lahir daripada budaya kepenggunaan yang melatari kita hari ini.

Jadi, disebabkan penulisan sejarah akan dipengaruhi dengan cara fikir masyarakat, adalah penting untuk kita fahami bahawa cara penulisan setiap zaman sememangnya berbeza dan saling berubah-ubah. Sebagai contoh, penulisan Sulalatus Salatin sememangnya merupakan penulisan sejarah, bukannya sebuah cerita mitos semata-mata. Tetapi mengapa dalam teks tersebut, kita lihat banyaknya perkara yang ‘tidak masuk akal’? Contohnya peristiwa Nila Utama, Nila Pahlawan dan Krishna Pandita mendarat di Bukit Siguntang Mahameru yang masyhur itu?

Hal ini sebahagiannya boleh dirungkai dengan pendekatan analisis wacana (discourse analysis)[2], tetapi penting juga untuk kita melihat bahawa etos dan cara persejarahan setiap zaman berkenaan hal yang ‘diterima’ dan ‘tidak diterima’ sebagai fakta itu berbeza. Zaman Sulalatus Salatin ditulis merupakan zaman masyarakat Melayu yang memerikan peristiwa sebenar dalam bentuk kiasan dan perlambangan agar pengajaran yang dapat diambil generasi berikutnya lebih membekas. Sebagai contoh, kejadian kapal Sang Nila Utama telah dipukul ribut di perairan Singapura dan ribut itu diredakan apabila baginda meletakkan mahkotanya di permukaan laut tidak boleh diambil secara zahirnya sahaja. Menurut Prof. Abdullah Zakaria Ghazali, kejadian ini merupakan perlambangan bahawa masyarakat Singapura hanya menerima pemerintah yang diakui dan direlakan oleh masyarakat tersebut. Disebabkan mahkota Sang Nila Utama berasal dari India, mahkota itu yang melambangkan kekuasaan perlu ditanggalkan terlebih dahulu sebelum tanah (baca: masyarakat) Singapura menerima pemerintahan Sang Nila Utama. Di sini menunjukkan, bahawa kaedah penulisan sejarah, selain terikat dengan ideologi, ia juga merupakan satu produk zaman yang unik, perlu dipastikan dan diteliti daripada sudut pandang ini.

Selain catatan, data arkeologi juga maha penting untuk rekod sejarah. Hakikat ini disebabkan selain catatan yang ditulis pastinya tidak neutral, rekod arkeologi akan menampakkan cara hidup sebenar sesuatu masyarakat yang tidak akan menipu. Hal inilah yang kemudiannya akan menyeimbangkan sumber tekstual dan menyahkan unsur-unsur seperti propaganda politik yang terkandung dalam sesuatu teks. Sebagai contoh, cara Hannibal, panglima perang dari Carthage yang diangkat sebagai panglima agung oleh penulis Greek, Polybius itu tentunya satu propaganda politik untuk memenangkan Rom ke atas Carthage. Dengan menggambarkan Hannibal sebagai seorang genius, pastinya apabila Rom menang ke atas Carthage, Rom secara tidak langsung diangkat sebagai kuasa agung yang tiada tandingannya. Selain itu, teks-teks yang ditulis penulis istana seperti Nagarakertagama tulisan Prapanca juga mempunyai unsur sebegini. Di sinilah, pentingnya kita menilai sesuatu teks melalui unsur-unsur yang mempengaruhi cara penulisannya.

Maka di sini dapatlah kita lihat, bahawa wujudnya garis halus antara sejarah yang ditulis secara rasmi (dan pelbagai faktor pula menjadikan sesuatu perkara itu ‘rasmi’ seperti politik, hegemoni dan sebagainya) dengan apa yang masyarakat benar-benar lalui. Justeru, dalam mengenal hakikat sejarah, pentingnya kita kembali kepada sumber persejarahan seperti catatan serta tinggalan masyarakat terdahulu bagi merungkai pengalaman nenek moyang kita zaman dahulu. Dan pada masa yang sama, sentiasa kritis terhadap cara penulisan dan penyampaian teks yang kita warisi. Kadang kala, sejarah yang tidak ditulis itu lebih penting daripada yang ditulis. Sebagai contoh, siri-siri Himpunan BERSIH yang telah berhasil merobah sistem pilihan raya di Malaysia sememangnya satu pengalaman yang amat penting buat anak bangsa kita. Tetapi malangnya, perkara ini (masih) tiada tercatat dalam ‘rekod rasmi’.

Maka, disebabkan keseluruhan faktor yang telah kita bincangkan tadi—daripada pengaruh ideologi, kekuasaan dan sebagainya—terhadap sumber persejarahan, kesemua ini pastinya menjelaskan kepada kita bahawa tidak cukup sejarah itu difahami sebagai naratif seperti prosa cerita sahaja. Ia lebih daripada itu, ia berada di peringkat struktural yang melatari sesebuah masyarakat secara keseluruhannya. Dan daripada pemahaman sebeginilah, bukan sahaja kita mampu merombak cara pengajian sejarah kita, tetapi juga membuka ruang-ruang kesarjanaan ke takah yang lebih tinggi.

Kepentingan Sejarah Kepada Umat Manusia

Wacana yang dominan dalam sesebuah masyarakat selalu sahaja bertunjangkan politik di ranah kekuasaan. Wacana yang diangkat inilah, sebahagiannya mampu dinilai dengan lebih teliti melalui pemahaman terhadap sejarah dan struktur masyarakat itu sendiri.

Penelitian ke atas sejarah memungkinkan hakikat sesebuah peristiwa dipisahkan daripada ‘realiti yang disuguhkan’ di atas garis-garis yang tidak wujud. Sebagai contoh, sejarawan ulung Prof. Eric Hobsbawm telah mengkritik lewat On History (ya beliau juga ada koleksi esei dengan tajuk ini selain Braudel) penubuhan Israel atas dasar tanah itu merupakan hak milik Yahudi Zionis untuk dijadikan sebuah negara, walaupun beliau sendiri merupakan keturunan Yahudi. Menurutnya, Zionis telah memanipulasikan kewujudan mereka di tanah itu pada suatu masa dahulu sebagai justifikasi bagi membina negara yang sifatnya moden[3]. Justifikasi ini berdiri di atas premis yang tempang, kerana kewujudan komuniti Yahudi di tanah itu ribuan tahun dahulu tidak sama sekali dalam bentuk ‘negara’ seperti Israel pada hari ini. Di sinilah kita dapat mengesani, bahawa kritikan Hobsbawm ini hanya akan terlahir melalui pengamatan yang tuntas terhadap perubahan struktur masyarakat yang terpancar di ranah politik kenegaraan, bukan sekadar rakaman peristiwa semata-mata.

Selain itu, beberapa perkara lain yang kelihatan seperti fakta sejarah tetapi hakikatnya a-sejarah (ahistorical) juga mewujudkan kepentingan untuk sebuah kajian yang holistik. Pada masa yang genting ini, ketika mana hal-hal perkauman digendang kuat beberapa pihak di Malaysia melalui kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab, anak bangsa kita wajar meninjau kembali sejarahnya dengan kesedaran yang jitu. Sebagai contoh, ketika sebahagian pimpinan ISMA menuduh kemasukan orang Cina ke Tanah Melayu bersama British suatu ketika dahulu sebagai “penceroboh”, satu polemik yang dahsyat, sekurang-kurangnya antara anak-anak muda di laman sosial, telah berlaku seputar hal ini. Saya berhujah, pandangan pimpinan ISMA ini adalah dangkal akibat tidak memahami konteks sejarah yang sepatutnya.

Disebabkan sebelum ini saya tidak pernah memberi komentar akan hal ini, saya akan mengambil ruang ini sedikit untuk menawarkan bidasan saya, walaupun isu ini sudah ‘basi’.

Pertama, istilah ‘penceroboh’ bermakna suatu pihak yang masuk ke suatu kawasan tanpa kebenaran. Negeri-negeri Kesultanan Melayu, seperti kebanyakan kerajaan lain di dunia[4], ketika itu masih berada dalam tatanan ‘empayar’ yang tidak mempunyai sempadan negara yang jelas seperti negara moden. Ketiadaan sempadan ini memberi implikasi bahawa pergerakan rentas sempadan adalah terbuka kepada sesiapa dan di mana sahaja pada ketika itu. Bermakna, kemasukan British malah orang Cina bersama mereka tiada asas untuk diklasifikasikan sebagai ‘penceroboh’. Baik, selesai soal istilah.

Kedua, kemasukan British ke Tanah Melayu kebanyakannya dimudahkan dengan kerjasama mereka dengan sultan-sultan Melayu (yang memandai-mandai dan tidak bertanggungjawab) ketika itu. Hal ini secara jelas terpakai di negeri seperti Kedah, Selangor, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan[5]. Perlu diingat, sejak ribuan tahun, sistem politik Melayu berbentuk ‘ke-raja-an’ atau ‘ke-sultan-an’[6], bukannya ‘government’. Bermakna, sesebuah negara itu pusatnya seorang raja, secara mudahnya bolehlah difahami sebagai ‘kewujudan negara ditentukan melalui wujudnya raja’. Itulah asas politik Melayu zaman-berzaman. Berbalik kepada soal tadi, disebabkan sultan-sultan inilah yang membenarkan kemasukan British (atas sebab meminta pertolongan, kerjasama politik dan sebagainya), maka bermakna negara itu menerima British untuk berada di situ bersama hal-hal yang ia lakukan. Apabila British membawa masuk buruh Cina dan India dan hal ini dibenarkan raja-raja ketika itu, maka tiadalah timbul isu kegiatan ini sebagai ‘pencerobohan’ dan sebagainya.

Ketika itu, apabila raja-raja sendiri yang bersetuju dengan kemasukan British, maka tidaklah boleh kita katakan, dengan rujukan kepada tatanan politik zaman tersebut, ia sebagai satu ‘kemasukan tanpa izin’. Izin raja bermakna izin negara. Maka, jika mahu cari pihak yang hendak dipersalahkan untuk kemasukan British, saya akan salahkan kebanyakan raja-raja Melayu yang tidak bertanggungjawab ketika itu (dengan tidak menafikan adanya raja yang menerima kemasukan British secara terpaksa).

Jajahan British circa 1900.

Ketiga, cara kenyataan itu dikeluarkan seolah-olah menggambarkan bahawa kedatangan buruh asing, seperti Cina, itu ‘menceroboh tanah Melayu’ atau ‘mencabar orang Melayu’ dan lain-lain ungkapan lagi yang bernada serupa. Hal ini juga adalah tidak benar kerana dalam kalangan orang Melayu ketika itu, mereka tidak meletakkan identiti sebagai ‘Melayu’ itu sebagai satu identiti utama mereka, tetapi mereka mengidentifikasikan diri mereka dengan sultan yang memerintah. Sebagai contoh, jika ditanya kepada orang Melayu ketika itu akan siapakah dia, dia tidak akan menjawab ‘saya Melayu’, tetapi akan menjawab ‘saya rakyat sultan Kedah’ umpamanya[7]. Maka, di sini apabila buruh Cina memasuki kawasan Melayu ketika itu, tidak timbul isu ‘Cina mengancam kawasan Melayu’ dan sebagainya. Tambahan pula, karakter negeri-negeri Melayu ketika itu yang mewarisi ciri kosmopolitan pelabuhan-pelabuhan gemilang di pesisir pantai tambah menjadikan orang Melayu tidak merasa ‘asing’ dengan kemasukan buruh-buruh ketika itu. Justeru, saya kira dakwaan tidak berasas itu sudahpun tertolak.

Dengan singgungan terhadap isu ‘penceroboh Cina’ tersebut, saya kira sudah jelas akan kepentingan memahami sejarah dalam totaliti atau keseluruhannya sebagai satu struktur masyarakat dan bukan hanya naratif penceritaan semata-mata. Perkara ini bagi memastikan kita tidak memaksakan piawai zaman ini ke atas struktur masyarakat dahulu yang sama sekali berbeza dengan kita.

Selain itu, Tuhan mengingatkan di beberapa tempat dalam al-Quran agar mengambil peringatan terhadap bangsa-bangsa yang sebelum daripada kita, supaya kita mengambil iktibar daripada jatuh bangun mereka suatu ketika dahulu[8]. Inilah satu lagi kepentingan sejarah kepada anak bangsa kita, supaya kita mengambil pelajaran daripada pengalaman masyarakat sebelum kita. Prof. Eric Hobsbawm menerusi eseinya Historians and Economists mengutarakan kritikan beliau terhadap disiplin ekonomi yang semakin meminggirkan sejarah ekonomi. Disiplin ini menjadi semakin matematikal dan inward-looking sifatnya, lantas gagal melihat krisis-krisis yang lalu sebagai iktibar yang mesti diteladani. Walhasilnya, kita melihat krisis berulang dan berulang yang pada dasarnya hampir sama sahaja punca dan simptomnya.

Kita harus sedar bahawa sejarah merupakan batu asas peradaban yang utama untuk pembangunan masa depan, yakni ia menjadi panduan untuk pembangunan yang benar-benar mapan. Pengalaman sejarah sesuatu bangsa yang tertakluk kepada struktur masyarakatnya serta perubahan yang dirasai sepanjang perjalanannya merupakan hal yang kemudiannya membentuk logik serta cara bekerja masyarakat tersebut. Perkara ini adalah amat penting untuk disedari, kerana manifestasi fizikal sesebuah bangsa, umpamanya seni bina, amatlah intim hubungannya dengan sejarah dan asas peradabannya. Sesuatu peradaban hanya mampu membangun dengan mapan sekiranya ia menyedari akan kearifan bangsanya zaman-berzaman dan tidak menempel nilai-nilai ‘asing’ di tanah peribuminya yang hanya akan menjadikan pembangunan tersebut ‘separuh masak’ sahaja.

Sebagai contoh, kesarjanaan seni bina moden mengakui bahawa di kawasan beriklim Khatulistiwa, rumah Melayu dengan ciri binaan serta bahan-bahannya merupakan jenis rumah yang paling mesra alam[9]. Dalam perbahasan kelestarian, pembinaan rumah tradisional Melayu sesungguhnya memenuhi semua kriteria moden dalam memastikan kelestarian alam sekitar, malah dalam seni bina Melayu, prinsip kelestarian itu seolah-olah sudah menjadi darah daging. Ciri-ciri rumah daripada rekabentuk, proses pembinaan sehinggalah perancangan tapak semuanya mengambil kira pertimbangan terhadap alam sekitar. Inilah salah satu kearifan Melayu yang kita warisi zaman-berzaman.

Namun, setelah kita memasuki zaman pasca-kolonial, kita yang kononnya tidak mahu ketinggalan dalam gerabak permodenan, urbanisasi dan pembangunan material ini menempel sahaja ciri-ciri seni bina dengan cara-gaya Eropah agar kelihatan ‘gah’ dan ‘maju’, walhal kita sedang memperbodoh diri kita sendiri. Lihat sahaja hutan konkrit di Kuala Lumpur yang menyesakkan dan mengundang masalah-masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, pulau haba dan banjir kilat. Perancangan bandar kita terlalu terikut-ikut mahu ‘nampak maju’, tetapi hakikatnya kita tak pernah memahami apakah makna ‘kemajuan’ yang hakiki. Sekian lama kita dijajah sehingga kita tidak mampu mengenal kebijaksanaan yang lahir dari rahim kebudayaan sendiri. Kebijaksanaan ini tentunya lahir daripada interaksi ribuan tahun nenek-moyang kita dengan kekangan serta peluang di persekitarannya seperti isu iklim, geografi dan sebagainya. Di sinilah, saya kira perbahasan sejarah di peringkat struktural memainkan peranan yang sangat penting.

Sebuah analisis struktural masyarakat sepanjang pengalaman sejarahnya penting supaya kita tidak memaksakan sesuatu yang bukan zamannya ke atas masyarakat kita. Sebagai contoh, selepas Empayar Uthmaniyah jatuh pada 1924, dunia Islam menyaksikan kebangkitan gerakan-gerakan Islam bernada politik—seperti Ikhwanul Muslimin dan PAS—untuk mengisi vakum kekuasaan yang pertama kali dirasakan umat sejak 1300 tahun sebelumnya. Namun, antara persoalan penting yang mesti ditanggapi para pemikir Islam ialah meletakkan prinsip-prinsip Islam dalam tatanan sebuah negara dalam sistem Westphalia yang rata-rata diamalkan dunia selepas Perang Dunia II. Ia tidak boleh lagi dilihat sebagai berada dalam kasus ‘khilafah’ seperti yang difahami sebelumnya, dan wacana seputar ‘mengembalikan khilafah’ yang dijuarai gerakan-gerakan ini sewajarnya mendepani cabaran zaman ini secara jujur serta tidak cukup hanya ‘kembalikan khilafah’ sahaja. Khilafah itu khilafah yang bagaimana, dan bagaimana pula adaptasi sistem Westphalia yang diamalkan kini dengan aspirasi tersebut? Inilah sesungguhnya cabaran zaman ini ke atas para ilmuwan Muslim yang menekuni teks-teks sakral serta sejarah intelektual Islam. Adalah tidak bijak untuk hanya memahami ‘kembalikan khilafah’ sebagai ‘kembalikan kerajaan gaya Uthmaniyah’ yang hanya akan menyebabkan inersia sosial. Maka, jelaslah kepada kita bahawa analisa sejarah menuntut sesuatu yang lebih sofistikated, bukan sekadar naratif cerita dan beromantis dengannya semata-mata.

Selain hal-hal berkait kebudayaan-ekonomi-politik, sejarah juga berkait sejarah idea. Elemen ini adalah lebih abstrak sifatnya dan mencerap evolusi dan perubahan idea serta wacana dalam masyarakat. Kita tidak dapat menafikan bahawa sejarah idea juga sangat penting, terutamanya bagi menilai dari mana datangnya wacana yang dominan kini dan melakukan timbang tara terhadapnya. Mengambil semula contoh rumah Melayu yang telah kita bincangkan tadi, kita lihat idea yang dominan bagi masyarakat pasca-pencerahan—yang kemudian dibawa Eropah melalui kolonialisasi—adalah idea bahawa ‘manusia menguasai alam’, bukan lagi ‘manusia sebahagian daripada alam’ seperti sebelumnya. Idea ini timbul ketika masyarakat zaman pencerahan mula mengangkat rasionaliti dan kaedah saintifik, sehingga akhirnya manusia hampir-hampir mampu melakukan apa sahaja dengan alam sekelilingnya menerusi penguasaan ilmu sains. Hal inilah yang kemudiannya membawa kesan seperti kerosakan alam sekitar disebabkan aktiviti ekonomi, malah aktiviti pertanian yang semangat asalnya bersifat mesra alam itu pun, akhirnya merosakkan alam seperti penanaman kelapa sawit besar-besaran[10]. Semangat ‘manusia sebagai sahabat alam’ yang terpancar daripada pembinaan rumah Melayu akhirnya terhapus dek hadirnya logik pasca-pencerahan ini ke Asia Tenggara yang menjadikan masyarakat kita keliru dalam usahanya menuju kemajuan.

Maka, bukan sahaja sejarah perubahan struktur kemanusiaan yang perlu kita cerap, sesuatu yang lebih abstrak juga wajar dinilai sedalamnya agar kita mampu melihat apakah yang telah berlaku sehingga kita berada di keadaan kita sekarang. Oleh sebab itu, naratif sejarah amat memerlukan analisis yang sifatnya lebih mencapah dan di peringkat struktural bersama analisis terhadap sejarah idea masyarakat kita. Dengan cara ini, barulah kita mampu membangunkan semula etos warisan kita yang merupakan prasyarat untuk maju dalam acuan kita sendiri.

 

Tanggungjawab Anak Bangsa

Kita harus jujur dengan sejarah. Mereka yang menduduki takhta kesarjanaan, yakni para sejarawan mestilah bersifat multi-disiplin agar tidak berlaku penyalahletakan (dislocation) sesuatu peristiwa dalam konteks yang salah. Hal inilah yang berlaku dalam soal ‘Cina penceroboh’ yang telah kita bahaskan sebentar tadi. Implikasinya amat besar sekali, terutamanya dalam polisi sosial yang bakal dirangka menuju masa depan negara selain kesan-kesan politikal jangka pendek yang lain. Analisis yang lebih dalam mesti dilakukan, kerana sebuah masyarakat itu bergerak dengan strukturnya dan bukannya dalam vakum.

Di samping itu, kita perlu mula kritis dengan wacana yang sedang dominan, kerana ia pasti ada kaitan dengan kekuasaan dan kepentingan politik. Hal ini mampu menjadikan kita melihat dengan lebih dalam apakah yang sebenarnya melatari struktur masyarakat kita pada hari ini. Perkara inilah yang telah ditinjau filasuf Michel Foucault menerusi analisisnya berkaitan dinamika power-knowledge, di mana kekuasaanlah yang menentukan apakah knowledge atau bukan, dan knowledge tersebut pula mengukuhkan kekuasaan tadi. Walhasilnya, keuntungan di sebalik wacana yang dominan ini kembali kepada radas-radas kekuasaan yang dipegang mereka yang berkuasa.

Malahan, sikap kritis terhadap penulisan sejarah juga merupakan sesuatu yang penting untuk disemai dan dijana. Sikap ini akan memastikan kita tidak menerima bulat-bulat kesimpulan daripada mana-mana fakta sejarah yang kita temui, malah akan terus mempersoalkan dan mencari kebenaran. Inilah sikap penting yang perlu dipupuk sejak di bangku sekolah lagi, agar pemahaman sejarah tidak bersifat parokial (parochial) dan berat sebelah dengan hanya berkiblatkan buku teks yang merupakan ‘teks rasmi’ sahaja. Bukalah dan luaskanlah skop pembacaan dan galakkanlah anak-anak muda agar terus mencari, bukan terhenti sekadar buku sekolah sahaja. Kelemahan ini harus diperbaiki, terutamanya di sekolah-sekolah di Malaysia. Mungkin sahaja fakta sejarah hanya satu, tetapi interpretasinya berbeza-beza.

 

Kesimpulan

Wacana sejarah dan persejarahan yang serius wajar diaktifkan di Malaysia, supaya kita mampu memberdayakan masyarakat dengannya. Usaha ini juga penting bagi memastikan tidak ada pihak yang mengeksploitasi fakta sejarah dengan cara atau konteks yang salah demi kepentingan diri sendiri yang menggadaikan kepentingan negara kita.

Perbahasan yang telah dilalui dalam makalah ini saya kira membawa kita kepada kepentingan memahami sejarah dari sudut yang lebih holistik dan bukannya sekadar penceritaan fakta dan kronologi semata-mata. Ia adalah pengalaman kolektif umat manusia, dan manusia tidak sekali-kali wujudnya dalam vakum. Analisis yang lebih mendalam di peringkat struktur inilah, yang merangkumi geografi, kebudayaan, ekonomi, politik dan sebagainya akan membuka dimensi baru dalam pengkajian serta pemahaman sejarah dalam kalangan masyarakat kita. Pemberdayaan anak bangsa kita akan lebih berwibawa dengan pemahaman yang jitu terhadap perjalanan sejarah masyarakatnya.

 

HAZMAN BAHAROM

 

[1] Untuk perbahasan yang lebih panjang, lihat E.H. Carr, What Is History?; Richard J. Evans, In Defence of History; dan bahagian pendahuluan di Eric Hobsbawm, On History.

[2] Pendekatan analisis wacana telah saya huraikan terhadap beberapa petikan dalam teks klasik melalui makalah saya sebelum ini berkenaan peristiwa kehilangan pesawat MH370.

[3] Perbahasan tentang moderniti dan implikasinya telah saya sentuh dalam makalah tentang MH370 baru-baru ini. Tentang struktur negara moden ketimbang negara-negara pramoden, saya telah sentuh dalam makalah Keadilan Kepengagihan dan Tanggungjawab Intelektual Muslim.

[4] Lihat Immanuel Wallerstein, The Modern-World System.

[5] Hal ini sebahagiannya dijelaskan dalam Maziar Mozaffari Falarti, Malay Kingship in Kedah: Religion, Trade and Society.

[6] Lihat Anthony Milner, The Malays.

[7] Hal ini amat jelas dilihat dalam teks-teks klasik seperti Hikayat Hang Tuah.

[8] Umpamanya melalui kisah Firaun dalam Surah al-Qasas, keagungan kerajaannya dan kejatuhannya yang memalukan sebagai pengajaran bagi mereka yang beriman dan berfikir.

[9] Lihat jurnal Sufian Che Amat dan Mohd. Sabrizaa Abd. Rashid, An Analysis of the Traditional Malay Architecture as Indicators for Sustainability: An Introduction to Its Genius Loci; dan jurnal Nur Hidayahtuljamilah Ramli, Re-adaptation of Malay House Thermal Comfort Design Elements into Modern Building Elements – Case Study of Selangor Traditional Malay House & Low Energy Building in Malaysia.

[10] Lihat E.F. Schumacher, Small is Beautiful.