Sejak isu kenaikan harga diesel dan RON 95 sebanyak 20 sen yang hangat semalam, saya meneliti banyak komen-komen di laman sosial yang rata-ratanya membenci langkah ini. Logiklah, siapa yang suka harga barang meningkat, bukan? Saya hanya mengambil langkah memerhati terlebih dahulu malam semalam; dan pagi ini, saya rasa terpanggil untuk memberikan komen terhadap langkah ini.

Pendirian saya mudah sekali dalam isu ini: Kenaikan harga minyak (atau sebetulnya pemotongan subsidi) ialah sesuatu yang diperlukan oleh negara. Pun begitu, saya hanya bersetuju dengan kenaikan diesel pada waktu dan ketika ini. Untuk harga RON 95, biarpun saya bersetuju untuk subsidinya dikurangkan, tetapi saya berpandangan bahawa ketika ini masih belum sesuai untuk langkah tersebut dilakukan.

Ya, hal ini merupakan sesuatu yang pahit untuk diterima, tetapi saya kira ia adalah satu ‘kejahatan yang diperlukan’ (a necessary evil).

 

Tinjauan Pasaran Dunia dan Kedudukan Malaysia

Secara ringkas, harga minyak mentah di pasaran dunia semakin meningkat. Untuk menganalisis pasaran dunia, ada dua standard yang selalu digunakan, iaitu Brent Crude dan WTI Crude. Hal ini terjadi disebabkan banyak faktor, antaranya rizab minyak mentah yang semakin berkurangan, menjadikan stok dan pengeluaran berkurangan, konflik Timur Tengah yang mengganggu proses pengeluaran, serta beberapa percaturan geopolitik yang lain. Kita tidak berminat untuk pergi jauh dalam faktor-faktor ini, cukuplah mengetahui bahawa secara umum, harga minyak semakin meningkat.

Harga minyak Brent dan WTI sejak lima tahun lepas.

Harga minyak Brent dan WTI sejak lima tahun lepas.

Juga, untuk menganalisis trend pasaran, kita tidak boleh ambil trend mingguan atau bulanan. Trend perubahan harga, jika hendak difahami dinamiknya secara holistik, mestilah diambil sekurang-kurangnya lima tahun ke belakang[1]. Hal ini disebabkan perubahan yang berlaku dalam pasaran terlalu banyak, dan perubahan harga akan berlaku setiap hari. Jadi, untuk mendapatkan trend secara keseluruhan, pemetaan data mestilah dilakukan dengan mengambil tempoh masa yang benar-benar cukup untuk kita menilai perubahannya. Dalam kes ini, kita ambil lima tahun.

Kedua, kita akan meneliti kedudukan Malaysia dalam perbelanjaan negara dan hutang-hutangnya.

Subsidi merupakan perbelanjaan kerajaan, dan jika kerajaan tidak cukup rizab untuk berbelanja, maka kerajaan perlu berhutang. Setakat ini, hutang negara kita berada pada tahap 53.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)[2]. Peratusan ini adalah tinggi dan kerajaan perlu bertindak serius untuk berbelanja secara berhemah jika mahu mengekalkan kestabilan pengurusan hutang negara. Walaupun pada masa dan ketika ini, kadar keberhutangan negara adalah stabil kerana pertumbuhan ekonomi yang tinggi[3] (berada pada paras 5.1% dalam suku pertama 2013), namun perancangan masa depan perlu juga diambil kira. Hal ini kerana, dinamisme ekonomi dunia mula berubah sejak pemulihan Eropah dan Amerika Syarikat[4] daripada krisis kewangan serta pertumbuhan China yang mula melembab kepada 7.5% pada suku kedua 2013. Pelabur-pelabur asing semakin ramai meninggalkan negara-negara membangun, lantas implikasinya, pembaikan dari sudut permintaan domestik perlulah dilaksanakan.

Peratusan hutang negara berbanding KDNK. Sumber: BNM

Peratusan hutang negara berbanding KDNK. Sumber: BNM

Selain itu, defisit belanjawan kerajaan (government budget deficit) secara umum (menurut agensi Fitch Ratings) semakin melebar daripada 3.8% KDNK pada 2011 kepada 4.7% KDNK pada 2012. Hal ini sebahagiannya disebabkan perbelanjaan yang tidak terkawal sebelum PRU 13 baru-baru ini.

Pemotongan subsidi yang diumumkan akan menjadikan subsidi RON 95 kepada 63 sen/liter, manakala diesel sebanyak 80 sen/liter. Sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan RM 24.8 bilion untuk subsidi minyak pada tahun 2013. Menurut Najib Razak, langkah ini akan menjimatkan RM 1.1 bilion dalam perbelanjaan negara.

Dengan kadar keberhutangan negara yang tinggi, kita pastinya mahukan negara kita mengurus hutangnya dengan baik supaya dalam jangka masa panjang, keyakinan terhadap kedudukan ekonomi negara kita kekal stabil. Baru-baru ini, agensi penarafan kredit antarabangsa, Fitch Ratings telah menurunkan taraf Malaysia daripada stabil kepada negatif. Hal ini disebabkan penurunan keyakinan antarabangsa terhadap komitmen Malaysia membetulkan kedudukan fiskal menerusi percukaian, subsidi, dan kadar perbelanjaan. Sebagai kesannya, beberapa perkara telah berlaku; antaranya penurunan nilai ringgit ke paras terendah dalam tiga tahun, pengeluaran semula dana luar dari Malaysia sehingga kadar faedah bon Malaysia melonjak ke paras paling tinggi sejak April 2011[5], dan sebagainya.

Pun begitu, dalam hal subsidi, kerajaan mestilah berusaha mengurangkan subsidi sedikit demi sedikit terutamanya minyak mentah yang harganya semakin mahal di pasaran antarabangsa. Apabila harga pasaran semakin mahal, subsidi yang perlu ditanggung kerajaan juga semakin meningkat demi mengekalkan harga yang dijamin kepada rakyat. Hal ini juga disebabkan keyakinan pelabur yang merudum disebabkan tingginya subsidi kerajaan serta gerak kerja industri yang beberapa kali ‘terganggu’ akibat kesan luar jangka (unintended consequences dalam istilah ekonomi) pemberian subsidi yang tinggi, yang akan saya jelaskan nanti. Namun, mengurangkan subsidi merupakan langkah yang sangat tidak popular dalam kalangan rakyat, walaupun dalam jangka masa panjang, ia adalah baik.

 

Antara Diesel dan RON 95

Saya mengulangi pendirian saya, bahawa subsidi minyak memang perlu dikurangkan. Jika tidak sekarang, suatu masa nanti. Namun, saya hanya bersetuju untuk mengurangkan subsidi diesel pada ketika dan saat ini. Adapun untuk RON 95, masih banyak isu yang perlu dipertimbangkan lagi secara lanjut.

Subsidi diesel yang tinggi (yakni RM 1/liter) sebelum pengurangan merupakan sesuatu yang telah mendatangkan beberapa kesan yang tidak diingini. Harga pasaran diesel ialah RM 2.80/liter, tetapi sebelum ini, ia dijual pada harga RM 1.80/liter. Perlu diingat, subsidi ini hanya diberikan kepada masyarakat awam yang mengisi minyak di pam petrol sahaja, tidak kepada industri. Industri yang memerlukan diesel perlu membelinya dengan harga pasaran, dan di sinilah punca masalah yang berlaku.

Salah satu masalah yang berlaku ialah penyeludupan diesel di Kota Kinabalu pada Jun 2013 sebanyak 1000 liter, yang telah menyebabkan harga pasaran diesel untuk industri di Malaysia diancam kenaikan mendadak. Akibat berkurangnya stok diesel di Malaysia, kekecohan terjadi dek kemungkinan harga diesel akan meningkat. Jenayah ini dilakukan dengan mengambil kesempatan terhadap rendahnya harga jualan diesel di Malaysia—untuk diseludup dan dijual di negara-negara jiran yang harga diesel mereka jauh lebih tinggi. Hal ini telah meningkatkan huru-hara dalam industri serta beberapa desakan kepada kerajaan supaya subsidi minyak dikurangkan.

Begitu juga dengan pelaburan asing di negara kita. Pelabur asing tidak akan mendapat subsidi terhadap bahan api yang mereka beli, berbeza dengan rakyat Malaysia. Hal ini telah menurunkan keyakinan pelabur untuk datang dan melabur di sini.

Namun, untuk RON 95 yang rata-ratanya digunakan rakyat kebanyakan, saya hanya bersetuju dengan pengurangan subsidi jika kenaikan gaji sebenar (real wage increase) berlaku. Rakyat kebanyakan yang kini semakin terhimpit dek tiadanya kenaikan gaji yang signifikan sedangkan harga barang semakin meningkat perlulah diberi keutamaan sebelum menaikkan harga satu lagi keperluan mereka iaitu minyak kenderaan.

Kerajaan haruslah juga memikirkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dalam jangka masa panjang—seperti pendidikan dan perkhidmatan kesihatan. Hal ini akan seterusnya melahirkan generasi terdidik yang mampu mengisi masa depan negara supaya pertumbuhan ekonomi kita (saya tidak suka untuk obses dengan hal ini, tetapi sekarang kita sedang bicara tentangnya) konsisten dan terjaga kelestariannya. Amartya Sen menerusi Development as Freedom telah menggariskan akan peri pentingnya prioriti kerajaan untuk diletakkan pada pendidikan dan kesihatan rakyat untuk kesan jangka masa panjang. Sehingga tiba saat itu, maka wajarlah kita mengurangkan pula subsidi untuk RON 95.

Pengumuman kenaikan harga minyak rata-ratanya mendapat respons negatif daripada rakyat.

 

Fokus Yang Menyimpang

Setelah kita meneliti akan keperluan supaya subsidi dikurangkan, saya ingin memberi komentar mengenai apakah fokus yang perlu kita—sebagai rakyat Malaysia—letakkan supaya kerajaan lebih bertanggungjawab.

Pada saya, desakan supaya kerajaan menurunkan harga minyak adalah tidak patut dan bersifat counterfactual. Desakan yang lebih munasabah ialah; dengan penjimatan yang berjaya dilakukan kerajaan, ke mana dana tersebut dibelanjakan. Kita perlu mempersoal ketelusan pengurusan, ketirisan perbelanjaan dalam dana yang dijimatkan tersebut.

Desakan kita haruslah terarah kepada penyaluran dana kepada pembangunan masyarakat dalam jangka masa panjang seperti pendidikan dan kesihatan. Lihat saja kualiti klinik kesihatan kerajaan di negara kita. Cubalah tanya kepada sesiapa pun rakyat Malaysia, pastilah mereka menjawab bahawa kualiti perubatan swasta jauh lebih baik daripada kualiti klinik kerajaan. Mengapa tidak kita belajar dengan United Kingdom melalui National Health Service (NHS) yang komited memberi perkhidmatan setaraf hospital swasta yang kebanyakannya secara percuma (bergantung kepada jenis rawatan) kepada rakyatnya. Perkara sebeginilah yang perlu kita ubah—daripada orientasi desakan menuntut penurunan harga minyak yang tidak lestari kepada peningkatan ketelusan perbelanjaan kerajaan serta pelaburan untuk kebaikan jangka panjang rakyat. Dari sudut pendidikan pula, lihat saja berapa banyak sekolah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang sangat daif keadaannya sehingga menyusahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Disebabkan keadaan ini, para guru terutamanya dari Semenanjung merasa ‘tidak berbaloi’ untuk pergi mengajar di sana, lalu akhirnya masalah pengurusan pun berlaku akibat kekurangan guru dan sebagainya. Sudahlah bangunan sekolah bagai nak runtuh, jalan ke sana pun tidak dibina sebaiknya! Saya yakin umum mengetahui akan penderitaan anak-anak yang meredah paya, sungai, hutan dan sebagainya di kawasan pedalaman sana hanya untuk meneguk titisan ilmu. Nah, inilah dia fokus yang perlu kita letakkan untuk mendesak kerajaan yang hasilnya nanti akan bersifat jangka panjang.

Selain itu, pembaikan kenderaan awam perlu juga kita persoalkan. Penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang berfokuskan pembaikan perkhidmatan pengangkutan awam perlu sentiasa diperhalusi rakyat. Di negara maju, kadar mobiliti rakyat sangat tinggi, antaranya disebabkan pengangkutan awam yang sangat efisien di hampir semua tempat dalam negara. Hal ini juga akan mengurangkan kebergantungan rakyat kepada kenderaan sendiri (yang pastinya akan menelan kos petrol) lantas kenaikan harga minyak tidak akan menjadi satu isu besar. Lihat saja di London, sebuah bandar metropolis agam, tetapi tiada kesesakan lalu lintas! Malah, perkhidmatan tren ke seluruh bahagian di UK juga adalah sangat efisien, sehinggakan anda tidak perlu memiliki kenderaan sendiri pun untuk menjelajah seluruh UK.

Saya sedikit risau dengan kecenderungan kerajaan untuk berbelanja memuaskan hati rakyat untuk tujuan jangka pendek, kerana secara tidak sedar hal ini akan menyebabkan orientasi fokus rakyat dalam menanggapi isu akan juga menjadi semakin bersifat ‘jangka pendek’. Hal ini telah dikritik kemas oleh Prof. Jeffrey Sachs dalam buku beliau, The Price of Civilization, ketika mana beliau melihat kecenderungan dasar ekonomi Amerika Syarikat yang hanya berfokus kepada perubahan kadar cukai. Perkara ini, dalam rumusan beliau, telah menyebabkan rakyat Amerika Syarikat semakin bersikap jangka pendek dalam merancang kewangan dan mengurusnya, sehingga akhirnya menyebabkan mereka berhutang dengan banyak sekali hanya untuk berbelanja besar dan mencapai ‘prestij’[6]. Justeru, hal ini menjelaskan kepada kita bahawa pentingnya dasar jangka panjang untuk benar-benar dibawa dalam pelan pengurusan negara.

Di samping itu, antara kerancuan besar abad ke-21 ialah alam sekitar. Prof. E.F. Schumacher menerusi bukunya, Small is Beautiful telah mengkritik keghairahan kita menggunakan sumber alam sewenang-wenangnya sehingga kita seolah-olah gagal membezakan sumber yang boleh diperbaharui dengan tidak boleh diperbaharui. Kita cenderung untuk melihat minyak mentah pemberian Tuhan sebagai pendapatan (income) berbanding modal (capital) yang menyebabkan kita memaksimumkan pengeluaran dan penggunaannya berbanding menjaga dan menggunakannya dengan cara yang paling efisien. Lihat saja komentar-komentar pengeluar minyak, semuanya menjurus kepada ‘memaksimumkan pengeluaran’, ‘meningkatkan aktiviti pemprosesan’ dan sebagainya.

Menerusi peningkatan harga minyak, saya melihat langkah ini menjadikan kita berfikir semula akan hakikat minyak sebagai sumber alam itu sendiri. Memanglah kebanyakan yang membaca makalah ini golongan terpelajar dan mudah sahaja memahami hakikat ‘rizab yang terhad’ tersebut, tetapi persoalannya, adakah ia diterjemah dalam perbuatan kita? Rizab yang semakin berkurang merupakan hakikat yang perlu ditelan akibat ketamakan manusia puluhan tahun dahulu, lalu pada hari ini telah mengakibatkan minyak mentah menjadi komoditi ‘panas’ yang dikehendaki dunia.

Harga minyak mentah sememangnya tidak dapat lari daripada permintaan dan penawaran di pasaran dunia.

 

Kesimpulan

Sebagai lontaran kepada ahli politik kedua-dua belah pihak sama ada BN atau PR, meningkatkan subsidi untuk menurunkan harga minyak ialah sesuatu yang bersifat jangka pendek yang populis dan cetek. Seharusnya, kerajaan mestilah memastikan, dengan naiknya penjimatan kerajaan, wang tersebut dibelanjakan ke arah pelaburan jangka panjang rakyat. Badan-badan masyarakat sivil pula mestilah memainkan peranan bersama-sama rakyat untuk memperbanyak desakan supaya ketelusan kerajaan dalam berbelanja dapat kita tingkatkan.

Setelah agensi Global Financial Integrity mendedahkan Malaysia sebagai negara kelima dalam transaksi wang haram pada 2000-2008, saya kira kita perlu fokus untuk memastikan kerajaan mengurus wang yang dijimatkan tersebut supaya manfaatnya kembali kepada rakyat. Disebabkan harga minyak yang pastinya semakin meningkat dan subsidi yang membantutkan ekonomi dalam jangka panjang, saya kira adalah tidak lestari untuk menuntut supaya subsidi minyak ditingkatkan lagi.

 

HAZMAN BAHAROM


[1] Saya belajar hal ini ketika ditugaskan menganalisis pasaran untuk komoditi minyak sawit mentah (CPO) di Kumpulan Strategi, Sime Darby. Di Sime Darby, kami memetakan analisis beserta unjuran harga masa depan berdasarkan data yang diperoleh paling kurang lima tahun ke belakang.

[2] Menurut data pada separuh kedua 2012

[3] Untuk analisis lengkap berserta formula matematik yang menerangkan kaitan hutang negara dengan kadar pertumbuhan, rujuk Burda and Wyplosz, Macroeconomics: A European Text.

[4] Rujuk laporan terbaru Federal Reserve, Beige Book yang diluncur Julai 2013

[5] Untuk memahami konsep harga dan faedah bon, mudah sahaja. Jika permintaan terhadap bon tinggi, harga akan meningkat seterusnya faedah akan menurun. Begitu juga sebaliknya.

[6] Untuk persoalan ‘prestij’ dalam tatanan masyarakat kapitalis, bolehlah merujuk karya-karya yang membedah antropologi kapitalisme seperti Gillian Tett dan Karl Polanyi.