Hal Media.

Agensi antarabangsa seperti Freedom House telah menyenaraikan Malaysia sebagai antara yang tercorot dalam kebebasan media–satu prasyarat penting dalam sebuah demokrasi yang matang. Sejak saya kecil, begitulah media arus perdana di Malaysia, khususnya penyiaran TV dan radio.

Ada yang berhujah, mengatakan bahawa kedua-dua blok–baik BN mahupun PR–sama sahaja dalam hal media dan penyiaran. BN menggunakan TV untuk memburukkan PR, PR pula menggunakan akhbar-akhbar seperti Harakah dan Suara Keadilan untuk memburukkan BN.

Setelah 55 tahun merdeka, kita mengalami satu masalah iaitu kegagalan membezakan antara parti dan kerajaan; dan salah satu simtomnya ialah hujah tempang di atas. Perlu diingat, RTM merupakan satu entiti yang bernaung di bawah Kementerian Penerangan Malaysia dan beroperasi dengan wang pembayar cukai, sedangkan BN hanyalah merupakan parti yang menggalas amanah untuk mentadbir kerajaan. Filasuf tersohor John Rawls telah mengetengahkan idea yang bernas berkenaan hal ini melalui idea ‘Political Liberalism’-nya. Rawls menentang penggunaan jentera kerajaan yang dibiayai hasil cukai rakyat untuk membawa agenda satu pihak atau satu kumpulan semata-mata. Hal ini padanya, merupakan satu ketidak adilan (Rawls merupakan salah seorang sarjana paling tersohor di dunia Barat dalam memahami idea dan konsep keadilan). BN sebagai salah satu ‘comprehensive doctrine’, tidak wajar dibawa agendanya sahaja dalam program yang dibiayai dana awam.

Baik, yang di atas itu di peringkat falsafah keadilan, peringkat idea. Untuk penerangan lebih lanjut, boleh hubungi saya.

Najib Razak sentiasa ‘syok sendiri’ mengatakan bahawa beliau komited untuk membentuk demokrasi yang lebih baik di Malaysia. Namun, hal demokrasi di media arus perdana masih belum selesai. Lihat sahaja piawaian negara-negara demokrasi yang jauh lebih baik daripada kita. Politik mereka politik idea dan polisi. Dasar kedua-dua pihak dipertonton di media dan diperdebatkan secara berdepan supaya rakyat boleh menilai dengan matang. Amartya Sen pernah menulis dalam ‘Development as Freedom’ bahawa kes kebuluran berjaya dibasmi di India, sebahagiannya disebabkan perbahasan idea terbuka yang muncul daripada demokrasi yang matang.

Saya yakin, antara dua blok politik di Malaysia, anda mampu melihat siapa yang lebih komited untuk menuju ke arah politik idea. Indikator mudah; siapa yang lebih komited untuk memperdebatkan idea kedua-dua belah pihak di satu pentas yang sama untuk dinilai rakyat.

Ini kalilah!

Advertisements