Alhamdulillah, saya dipanggil untuk menghadiri temu duga kedua untuk biasiswa Yayasan Sime Darby yang bertempat di Hotel Grand Dorsett, Subang.

Saya tiba di hotel tersebut pada jam 7.40 pagi bersama ayah dan pak cik saya. Oleh sebab kesuntukan masa (pendaftaran pada jam 8.00 pagi), ayah saya mengajak saya bersarapan di kafe hotel tersebut.

Saya menaiki lif ke tingkat 4, tempat berlangsungnya temu duga tersebut, iaitu di Sarawak Room. Kali ini, saya ditempatkan bersama dengan 6 peserta lain di dalam satu kumpulan. Mereka merupakan sdr Fateh (SM Islam Hidayah), sdr Muzakkir (Victoria Institution), sdr Nazrin (SBPI Gombak, juga merupakan kumpulan saya semasa temu duga peringkat pertama dahulu), sdr Zafirah (King George V), dan sdr Chee Heng (SMK Seksyen 9 Shah Alam).

Pada sesi temu duga kali ini, ujian yang perlu dilalui oleh para peserta lebih mencabar ketahanan mental dan stamina. Sesi pertama dimulakan dengan sesi pembentangan. Saya ditugaskan untuk mengkaji satu dokumen berkenaan hasil perolehan syarikat Epsilon Blunt dan membentangkan selama 15 minit mengenai kekuatan kewangan syarikat serta kelemahannya, dan memberi pelan tindakan untuk mengatasi kelemahan syarikat dalam masa 1 hingga 2 tahun akan datang. Saya ingin menceritakan salah satu pelan tindakan saya, memandangkan reputasi syarikat berada pada paras yang agak corot, iaitu hanya 34% responden sahaja yang mengatakan bahawa syarikat Epsilon Blunt ialah syarikat yang berkualiti, maka saya mencadangkan bahawa sesetengah produk yang mendapat permintaan yang tinggi seperti ubat demam (Epsilon Blunt ialah syarikat farmasi) dan ubat selsema dijual dengan harga di bawah harga kos. Hal ini disebabkan saya yakin dengan kemampuan syarikat untuk menjana pulangan yang lebih lumayan melalui reputasi yang melonjak, sekali gus menggandakan jumlah pelaburan yang setakat ini sudah mencatatkan keuntungan sebanyak RM 10 juta.

Untuk sesi kedua, perbincangan kumpulan pula mengambil tempat. Kali ini, kami berbincang untuk menyelamatkan ekonomi syarikat dengan merangka strategi untuk menutup satu kilang. Terdapat 3 kilang iaitu di Shah Alam, Melaka, dan Pulau Pinang. Pada mulanya saya mencadangkan untuk menutup kilang di Pulau Pinang, kerana kemudahannya yang sudah usang dan perlukan kos yang tinggi untuk membaik pulih. Kemudian, datang seorang wanita (salah seorang penemu duga yang berlagak seperti setiausaha syarikat) dan mengedarkan satu risalah mutakhir berkenaan kedudukan kewangan syarikat. Risalah tersebut mengesahkan bahawa kilang di Pulau Pinang tidak akan ditutup sama sekali. Hal ini sekali gus telah mendatangkan kerumitan kepada kami untuk membuat pemilihan antara kilang di Shah Alam dan Melaka. Akhirnya, kilang di Melaka telah kami pilih untuk ditutup atas sebab kerugian yang dialami hasil penutupan kilang di Melaka tidaklah sebesar yang dialami ekoran penutupan kilang di Shah Alam.

Kemudian, kami pergi pula kepada sesi ketiga temu duga tersebut. Sesi ini memerlukan ketahanan mental yang tinggi kerana para peserta, secara individu dikehendaki memainkan peranan sebahai eksekutif bahagian sumber manusia untuk memujuk seorang kakitangan syarikat yang bijak, supaya tidak meninggalkan syarikat dan berkhidmat di syarikat lain.

Semuanya selesai pada lebih kurang jam 12.30 tengah hari. Seusai sesi ketiga, saya turun ke lobi hotel untuk bertemu dengan ayah dan pak cik saya. Saya bertolak pulang dengan menaiki bas pada jam 6 petang.

HAZMAN BAHAROM

Advertisements